Terkini
Pengambilalihan IJM oleh Sunway, Akmal desak kerajaan lindungi kepentingan Bumiputera
- Menerusi kenyataan dalam satu video , beliau menegaskan isu paling utama yang perlu diberi perhatian ialah struktur bayaran cadangan pengambilalihan itu yang menurutnya hanya melibatkan kira-kira 10 peratus pembayaran secara tunai, manakala baki 90 peratus dibuat melalui pertukaran saham Sunway.
- “Kalau nak beli, beli secara tunai. Bayar RM11 bilion, jadi kita puas hati. Jangan kita gadaikan ekonomi Bumiputera, jangan kita gadaikan ekonomi negara kepada satu transaksi yang merugikan negara pada satu hari nanti,” tegasnya.
KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh mempersoalkan cadangan pengambilalihan IJM Corporation Bhd oleh Sunway Group yang dikatakan bernilai hampir RM11 bilion, sambil mendakwa transaksi itu berisiko merugikan pemegang kepentingan serta boleh menimbulkan keraguan dari sudut penilaian dan pergerakan saham.
Menerusi kenyataan dalam satu video , beliau menegaskan isu paling utama yang perlu diberi perhatian ialah struktur bayaran cadangan pengambilalihan itu yang menurutnya hanya melibatkan kira-kira 10 peratus pembayaran secara tunai, manakala baki 90 peratus dibuat melalui pertukaran saham Sunway.
“Dalam RM11 bilion ini, Sunway hanya bayar 10 peratus sahaja dalam bentuk cash. Maksudnya pelabur hanya dapat RM1.1 bilion cash. 90 peratus lagi hanya pertukaran saham,” katanya.
Menurut beliau, pertukaran saham itu dianggarkan pada nilai sekitar RM5.65 sesaham, sekali gus menyebabkan IJM hanya memperoleh pegangan minoriti dalam Sunway, bukan pegangan majoriti, walaupun IJM disifatkan sebagai syarikat konglomerat besar dan berdaya saing.
Akmal turut membangkitkan persoalan berkaitan penilaian saham Sunway yang menurutnya jauh melebihi Nilai Aset Ketara (NTA) syarikat tersebut.
Beliau mendakwa, ketika harga saham IJM sekitar RM2.80, nilai aset ketara IJM pula sekitar RM2.90, menjadikan penilaian IJM hampir setara dengan NTA.
Namun bagi Sunway, beliau mendakwa harga saham sekitar RM5.63 sedangkan NTA hanya kira-kira RM2.34, iaitu lebih dua kali ganda daripada nilai aset ketara.
“Sunway diniagakan 2.4 kali ganda daripada NTA. NTA RM2.34 tetapi harga saham RM5.63. Jadi ini menimbulkan keraguan,” katanya.
Sehubungan itu, Akmal mendesak kerajaan agar campur tangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, selain menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan penuh terhadap pergerakan serta penilaian saham Sunway.
Beliau menekankan siasatan perlu dilakukan secara bebas, telus dan adil bagi mengelakkan sebarang keraguan awam terhadap transaksi tersebut.
Akmal turut menggesa agar pembelian dibuat sepenuhnya secara tunai jika benar-benar mahu melaksanakan urus niaga itu.
“Kalau nak beli, beli secara tunai. Bayar RM11 bilion, jadi kita puas hati. Kalau harga saham Sunway merudum jatuh bulan depan atau tahun depan, siapa yang rugi? IJM juga yang rugi,” katanya.
Tambah beliau, perkara itu bukan sekadar melibatkan urusan korporat biasa, sebaliknya menyentuh kepentingan ekuiti Bumiputera dan ekonomi negara kerana IJM mempunyai kepentingan berkaitan pelaburan institusi penting negara.
“Jangan kita gadaikan ekonomi Bumiputera, jangan kita gadaikan ekonomi negara kepada satu transaksi yang merugikan negara pada satu hari nanti,” tegasnya.-The Merdeka Times