Connect with us

Terkini

NUJM, Geramm mahu wartawan dilindungi serangan peribadi, tekanan tak wajar

Published

on

Foto: Logo GERAMM & NUJM.
  • Menurut kenyataan bersama,  Geramm dan NUJM mengiktiraf keputusan FMT untuk menangani perkara berkenaan secara terbuka, selain menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil oleh organisasi media itu.
  • “Walau apa pun perbezaan pandangan terhadap laporan atau bentuk pertanyaan, pengamal media tidak seharusnya terdedah kepada tindakan yang menjejaskan keselamatan, maruah atau keupayaan mereka untuk menjalankan tugas secara bebas,” jelas kenyataan itu.

KUALA LUMPUR – Pengamal media tidak seharusnya terdedah kepada sebarang tindakan yang menjejaskan keselamatan, maruah serta keupayaan mereka untuk menjalankan tugas secara bebas, tegas Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM).

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka mengambil maklum permohonan maaf serta penjelasan awam yang dikeluarkan oleh Free Malaysia Today (FMT) susulan semakan dalaman berhubung satu isu terkini yang melibatkan salah seorang wartawannya.

Menurut kenyataan tersebut, Geramm dan NUJM mengiktiraf keputusan FMT untuk menangani perkara berkenaan secara terbuka, selain menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil oleh organisasi media itu.

“Wartawan mesti dilindungi daripada serangan peribadi dan tekanan yang tidak wajar. 

“Walau apa pun perbezaan pandangan terhadap laporan atau bentuk pertanyaan, pengamal media tidak seharusnya terdedah kepada tindakan yang menjejaskan keselamatan, maruah atau keupayaan mereka untuk menjalankan tugas secara bebas,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, Geramm dan NUJM menekankan beberapa perkara penting, antaranya bahawa gangguan dan intimidasi, termasuk pendedahan maklumat peribadi dan ugutan, adalah tidak boleh diterima serta meletakkan wartawan pada risiko sebenar, di samping melemahkan peranan media dalam sebuah masyarakat demokratik.

“Selain itu, kedua-duanya turut menegaskan pertimbangan profesional dan inkuiri kritikal merupakan teras kepada kewartawanan yang bertanggungjawab, termasuk pembingkaian soalan dan naratif secara berhati-hati, berasaskan persediaan, penyelidikan dan analisis.

“Tanggungjawab editorial adalah bersifat kolektif, melangkaui wartawan individu kepada bilik berita dan organisasi media, yang mesti menyediakan bimbingan, latihan dan pengawasan editorial yang kukuh,” menurut kenyataan berkenaan.

Geramm dan NUJM juga mengingatkan bahawa organisasi berita harus memupuk persekitaran yang menyokong serta menegakkan piawaian profesional tanpa mewujudkan suasana ketakutan, tindakan balas atau penapisan kendiri dalam kalangan wartawan.

Dalam masa sama, jelasnya, semua pihak digesa agar menahan diri dan berinteraksi secara konstruktif, sambil menegaskan bahawa menyoal pakar, tokoh awam dan pihak berkepentingan dalam forum awam atau terbuka merupakan amalan kewartawanan yang sah dan telah lama diterima.

“Sekiranya timbul kebimbangan mengenai kelakuan kewartawanan, perkara tersebut hendaklah dibangkitkan melalui saluran yang sesuai dan profesional, bukannya melalui kecaman awam atau serangan peribadi,” katanya.

Sebagai organisasi yang komited terhadap kebebasan media, integriti profesional dan akauntabiliti, Geramm dan NUJM menegaskan kekal terbuka untuk memudah cara dialog atau penglibatan konstruktif antara pihak-pihak yang terlibat, sekiranya sesuai. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author