Connect with us

Terkini

‘Kaitkan Malaysia apartheid: Di mana kenyataan Majlis Media Malaysia?’ 

Published

on

Foto: Pengarah ISTAC IIUM, Prof Datuk Ahmad Murad Merican
  • Pengarah ISTAC IIUM, Prof Datuk Ahmad Murad Merican berkata ketiadaan reaksi atau penjelasan daripada Majlis Media Malaysia boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk keizinan senyap terhadap dakwaan bahawa orang Melayu mengamalkan “apartheid”.
  • “Naratif rungutan oleh wartawan Free Malaysia Today. Di mana kenyataan Majlis Media Malaysia? Tiada kenyataan boleh bermaksud bersetuju dengan tohmahan ‘apartheid’ Melayu terhadap keturunan bukan pribumi,” katanya

KUALA LUMPUR – Kegagalan Majlis Media Malaysia mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung naratif yang melabel Malaysia sebagai mengamalkan “apartheid” Melayu menimbulkan persoalan serius mengenai pendirian badan itu terhadap tohmahan yang menyasarkan orang Melayu dan bumiputera.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu Islam, ISTAC IIUM, Prof Datuk Ahmad Murad Merican, ketiadaan reaksi atau penjelasan daripada Majlis Media Malaysia boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk keizinan senyap terhadap dakwaan bahawa orang Melayu mengamalkan “apartheid”.

“Naratif rungutan oleh wartawan Free Malaysia Today. Di mana kenyataan Majlis Media Malaysia? 

“Tiada kenyataan boleh bermaksud bersetuju dengan tohmahan ‘apartheid’ Melayu terhadap keturunan bukan pribumi,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Facebook.

Ketiadaan kenyataan balas daripada Majlis Media Malaysia dilihat bercanggah dengan peranan badan tersebut sebagai entiti yang sepatutnya memelihara etika kewartawanan, ketepatan istilah dan tanggungjawab media dalam masyarakat majmuk.

Semalam media melaporkan pendakwah bebas, Firdaus Wong mempersoalkan tindakan seorang wartawan Free Malaysia Today (FMT) yang didakwa mengaitkan polisi apartheid Israel terhadap Palestin dengan layanan orang Melayu terhadap masyarakat Cina di Malaysia, sambil menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak berasas dan tidak intelektual.

Firdaus berkata, beliau merujuk kepada hantaran bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang memuji ucapan pemimpin Parti Pekerja Britain, George Galloway, berkaitan isu konflik dan genosid di Gaza.

Namun menurut Firdaus, ketika sesi soal jawab, seorang wakil FMT didakwa bertanyakan kepada Galloway samada polisi apartheid Israel “menyerupai cara orang Melayu melayan orang Cina di Malaysia”.

Walaupun menegaskan bahawa wartawan berhak bertanya soalan kritikal dan tidak wajar diugut, Firdaus menekankan bahawa kebebasan bertanya bukan lesen untuk melemparkan soalan yang kelihatan kritikal tetapi tidak disertakan fakta dan kajian mencukupi.

Sebagai reaksi terhadap soalan tersebut, Firdaus turut membangkitkan beberapa persoalan balas, khususnya berhubung dakwaan wujud penindasan sistemik Melayu terhadap Cina di negara ini. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author