Terkini
“Sampai bila mohon maaf? Tarik balik kewarganegaraan, wartawan ini bukan rakyat Malaysia” – Muhammad Rafique
- Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata tindakan wartawan berkenaan tidak beradab, tidak berfakta dan mencerminkan kegagalan memahami realiti sejarah serta kontrak sosial negara ini.
- Rafique turut mempertahankan kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai asas kontrak sosial yang dipersetujui sejak pembentukan negara.
- “Salahkah orang Melayu memperjuangkan hak kontrak sosial di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui nenek moyang Cina?.
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali mencadangkan menarik balik kewarganegaraan wartawan portal berita Free Malaysia Today (FMT).
Ia susulan tindakan wartawan tersebut yang mengemukakan soalan menyamakan kedudukan orang Melayu di Malaysia dengan sistem apartheid.
Menurut beliau, tindakan wartawan berkenaan yang membandingkan nasib masyarakat Cina di Malaysia dengan penduduk Palestin adalah tidak beradab, tidak berfakta dan mencerminkan kegagalan memahami realiti sejarah serta kontrak sosial negara ini.
Beliau berkata, insiden yang tular ketika sesi ceramah geopolitik dunia di ibu negara itu menunjukkan kegagalan mematuhi etika kewartawanan serta kecenderungan membina naratif berasaskan sentimen perkauman semata-mata.
“Wartawan dan pemberita ada etika. Bahasa mudah adab. Soalan cerminkan adab, tiada masalah bertanya, malah itu ‘bread and butter’ setiap wartawan.
“Cuma adab penting. Fakta juga penting, bukan sandar pada halusinasi sentimen rasisme semata-mata,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Muhammad Rafique menegaskan bahawa perbandingan kononnya kaum Cina di Malaysia mengalami penindasan seperti rakyat Palestin adalah tidak masuk akal dan bercanggah dengan fakta sejarah.
“Adakah orang Melayu amalkan asimilasi bangsa seperti di Indonesia atau Thailand; adakah orang Melayu rampas tanah dan rumah orang Cina; adakah orang Melayu rampas peluang ekonomi orang Cina; adakah orang Melayu sekat parti-parti politik orang Cina?
“Adakah orang Melayu buat penempatan terpencil untuk orang Cina seperti di Gaza; adakah orang Cina dikepung dan disekat bantuan makanan sehingga perlu rayu untuk sesuap nasi?” soalnya.
Tambah beliau, masyarakat Cina di Malaysia bebas mengamalkan budaya, bahasa, ekonomi dan kepercayaan masing-masing tanpa sekatan sistematik.
“Adakah orang Melayu sekat surat khabar, berita, filem, muzik dan budaya artis Cina?, adakah orang Melayu sekat anak-anak Cina belajar menulis dan membaca bahasa Mandarin, Kantonis, Hokkien atau Hakka?.
“Adakah orang Melayu halang ladang khinzir, restoran tidak halal, arak, perjudian kasino di Genting atau pembakaran colok dan wang kertas?” soalnya lagi.
Rafique turut mempertahankan kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai asas kontrak sosial yang dipersetujui sejak pembentukan negara.
“Salahkah orang Melayu memperjuangkan hak kontrak sosial di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui nenek moyang Cina?.
Sehubungan itu, Rafique menyatakan bahawa permohonan maaf berulang kali tidak lagi memadai dan mencadangkan tindakan lebih tegas diambil.
“Sampai bila mohon maaf? Dari isu bendera terbalik, kalimah Allah di stokin, hingga kini soalan provokatif kepada warga bekas penjajah.
“Orang Melayu tak perlu maaf daripada kamu. Tarik balik kewarganegaraan kerana jelas wartawan ini bukan rakyat Malaysia.
“Cukuplah ambil kesempatan atas kemurahan hati orang Melayu. Jangan kejut harimau yang sedang tidur,” ujarnya. – The Merdeka Times