Terkini
Mufti perlu manfaatkan khutbah, fatwa dan media sosial bendung normalisasi LGBT – Mufti Pulau Pinang
- Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata peranan mufti dalam isu LGBT tidak terhad kepada menyatakan hukum pengharaman semata-mata, sebaliknya merangkumi tanggungjawab memberi panduan syariah secara berperingkat, berhikmah dan berasaskan fakta agar dapat difahami seluruh lapisan masyarakat.
- “Normalisasi LGBT banyak berlaku melalui media, hiburan dan naratif hak asasi yang dipisahkan daripada nilai agama. Mufti perlu tampil menjelaskan pendirian Islam terhadap isu ini secara intelektual dan berfakta agar umat Islam tidak terpengaruh dengan hujah yang mengelirukan,” tegasnya.
KUALA LUMPUR – Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman menggesa ahli agamawan khususnya mufti memanfaatkan khutbah, fatwa, wacana ilmiah, media arus perdana dan media sosial bagi menyampaikan kefahaman yang betul, konsisten dan berautoriti bagi membendung budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara dari berleluasa.
Menurut beliau, peranan mufti dalam isu LGBT tidak terhad kepada menyatakan hukum pengharaman semata-mata, sebaliknya merangkumi tanggungjawab memberi panduan syariah secara berperingkat, berhikmah dan berasaskan fakta agar dapat difahami oleh seluruh lapisan masyarakat.
Beliau berkata, penjelasan mengenai pengharaman perlakuan songsang perlu disandarkan kepada dalil al-Quran dan al-Sunnah, termasuk penegasan tentang fitrah kejadian manusia serta maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl), akhlak dan kestabilan sosial.
“Mufti juga perlu membezakan dengan jelas antara perlakuan yang dilarang dan individu yang sedang diuji.
“Islam mengharamkan perbuatan liwat dan hubungan songsang, namun dalam masa yang sama mengajar agar pendekatan dakwah dilakukan dengan nasihat, bimbingan dan peluang taubat, bukan dengan kebencian atau penghinaan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Tambah beliau, kekeliruan masyarakat sering berlaku apabila ketegasan prinsip Islam disalah tafsir sebagai kezaliman, sedangkan syariah menuntut keseimbangan antara ketegasan hukum dan adab berinteraksi sesama manusia.
Mengulas usaha membanteras normalisasi LGBT, Dr. Mohd. Sukki berkata pendekatan mufti perlu bersifat menyeluruh dan tidak reaktif, bermula dengan pengukuhan pendidikan akidah dan kefahaman fitrah sejak peringkat awal melalui institusi pendidikan, masjid dan program belia.
Selain itu, katanya, mufti juga berperanan membimbing kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama dalam menggubal dasar serta undang-undang agar tidak bercanggah dengan syariah atau membuka ruang kepada pengiktirafan hubungan songsang.
“Pendekatan dakwah dan pemulihan boleh dilaksanakan Mufti dengan menyokong atau mencetuskan program pemulihan, kaunseling dan sokongan rohani bagi individu yang terlibat atau cenderung kepada LGBT, dengan pendekatan rahmah, profesional dan berasaskan syariah, bukan menghukum secara terbuka yang boleh menutup pintu taubat.
“Terakhirnya, normalisasi LGBT banyak berlaku melalui media, hiburan dan naratif hak asasi yang dipisahkan daripada nilai agama. Mufti perlu tampil menjelaskan pendirian Islam terhadap isu ini secara intelektual dan berfakta agar umat Islam tidak terpengaruh dengan hujah yang mengelirukan,” tegasnya.
Katanya, mufti harus tampil sebagai kompas moral dan rohani masyarakat dengan memastikan ketegasan terhadap prinsip syariah berjalan seiring dengan hikmah, pendidikan, pencegahan dan pemulihan.
“Pendekatan inilah yang lebih berkesan untuk membendung normalisasi gejala songsang tanpa mengorbankan nilai rahmah dan keadilan yang menjadi teras ajaran Islam,” ujarnya.
Semalam media melaporkan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama dengan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah hotel di sini, susulan timbul dakwaan premis berkenaan “mesra gay”.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata operasi itu dijalankan berikutan perkara terbabit tular di laman sosial selepas dibangkitkan oleh seorang pendakwah bebas.
“Berdasarkan pemeriksaan terhadap 37 bilik di hotel berkenaan, pihak berkuasa tidak mengesan sebarang kesalahan syariah di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di sebuah bilik yang didapati tidak berkunci menemukan keadaan bilik yang berselerak seolah-olah baru digunakan, selain terdapat dua helai tuala pada penyangkut serta dua kotak kondom di dalam tong sampah bilik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan. – The Merdeka Times