Terkini
Hotel ‘mesra gay’ : Peguam gesa PBT tegas, bukan tunggu viral
- “Bagi pihak kerajaan, tindakan penguatkuasaan perlu dijalankan secara berkala dan tidak hanya sekadar menunggu berita tersebut menjadi tular baharulah ingin mengambil tindakan,” tegas beliau yang merujuk isu sebuah hotel di Melaka kerana dikaitkan dengan konsep ‘mesra’ hubungan sejenis.
- Beliau turut menyeru pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Agama Islam agar bertindak lebih proaktif dengan menjalankan pemantauan berkala, bukan sekadar menunggu aduan atau isu menjadi tular.
KUALA LUMPUR – Peguam, Dr Zulqarnain Lukman menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan supaya menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap hotel dan rumah tumpangan secara konsisten, bukannya hanya bertindak selepas sesuatu isu menjadi tular di media sosial.
“Bagi pihak kerajaan, tindakan penguatkuasaan perlu dijalankan secara berkala dan tidak hanya sekadar menunggu berita tersebut menjadi tular baharulah ingin mengambil tindakan,” tegas beliau yang merujuk isu sebuah hotel di Melaka kerana dikaitkan dengan konsep ‘mesra’ hubungan sejenis.
Menurutnya, PBT sebenarnya mempunyai peranan besar untuk menguatkuasakan undang-undang ke atas premis penginapan termasuk hotel dan rumah tumpangan, malah setiap PBT mempunyai garis panduan tersendiri dalam mengawal selia operasi perniagaan berkenaan.
Dr Zulqarnain berkata, PBT juga diberikan kuasa di bawah beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Seksyen 101 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Seksyen 70(12) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Seksyen 19(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Tambah beliau, PBT turut mempunyai kuasa untuk menggubal dan meluluskan undang-undang kecil seperti Undang-Undang Kecil Hotel di kawasan masing-masing bagi memastikan operasi hotel dan rumah tumpangan berada dalam kawal selia yang ketat dan mematuhi sensitiviti setempat.
Mengulas kewujudan iklan atau promosi yang mencetuskan kontroversi, Dr Zulqarnain berpandangan ia berkemungkinan berlaku akibat inisiatif pihak pengurusan hotel sendiri yang tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam di negeri berkaitan dalam usaha menarik pelancong asing.
Beliau menegaskan bahawa jika berlaku kesalahan yang serius, PBT boleh mengambil tindakan lebih tegas termasuk menggantung atau menarik balik lesen perniagaan, sehingga premis berkenaan mematuhi peruntukan undang-undang.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Agama Islam agar bertindak lebih proaktif dengan menjalankan pemantauan berkala, bukan sekadar menunggu aduan atau isu menjadi tular.
Dalam masa sama, Dr Zulqarnain mengingatkan pengusaha hotel bahawa strategi pemasaran yang wajar ialah mempromosikan hotel sebagai tempat selamat, bersih, mesra pengguna dan berkualiti.
“Pengusaha hotel perlu mempromosikan hotel mereka sebagai tempat yang selamat untuk didiami dan mesra pengguna serta mengutamakan kebersihan.
“Ini adalah faktor utama bagi pelancong untuk berkunjung ke hotel mereka dan bukanlah kerana hotel itu mesra dengan aktiviti tidak bermoral,” ujarnya.-The Merdeka Times