Terkini
Glamping with Pride : Kesihatan awam bukan alat propaganda LGBT – WAFIQ
- WAFIQ bangkitkan isu paparan poster oleh JEJAKA berkaitan acara “Glamping With Pride” yang menampilkan lelaki berpakaian bikini dan berimej silang jantina.
- Menurut WAFIQ, paparan visual sedemikian melangkaui mesej pencegahan HIV dan kesihatan awam, sebaliknya membawa unsur normalisasi transgenderisme dan queer melalui propaganda visual.
- “Ini bukan isu tafsiran sempit, tetapi mesej visual yang disengajakan, kerana imej merupakan alat komunikasi yang kuat dalam membentuk persepsi sosial. Apabila lelaki dipersembahkan dalam pakaian dan gaya feminin secara terbuka dan dirayakan, ia membawa mesej bahawa kekeliruan jantina dan identiti queer adalah sesuatu yang normal dan diterima,” – Setiausaha Kehormat WAFIQ, Nur Farihah Meor Mazli
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) memberi amaran keras bahawa isu kesihatan awam tidak boleh dijadikan alasan atau “kuda Trojan” untuk menyeludup ideologi PRIDE, LGBT atau transgenderisme ke dalam masyarakat Malaysia, samada secara terbuka mahupun terselindung.
Dalam kenyataan bertulis, Setiausaha Kehormat WAFIQ, Nur Farihah Meor Mazli, menegaskan bahawa sebarang pendekatan berkaitan kesihatan awam mesti kekal beretika, mematuhi undang-undang negara serta tidak disertai unsur perayaan identiti seksual atau jantina songsang yang bercanggah dengan norma sosial dan agama.
“Undang-undang sedia ada yang melarang sebarang hubungan seksual LGBT perlu ditegakkan selaras dengan prinsip perundangan tempatan dan nilai moral serta agama masyarakat Malaysia.
“Seks di luar tabie dan perbuatan lucah melampau menurut definisi Kanun Keseksaan adalah sebahagian daripada perilaku LGBT yang seringkali dinafikan oleh pendokong ideologi ini, walaupun ianya memang berlaku,” tegas Farihah.
Tambahnya, kerangka perundangan Syariah turut menjenayahkan perbuatan liwat dan musahaqah (lesbianisme), sekaligus mengesahkan bahawa gaya hidup atau aktiviti LGBT merupakan suatu kesalahan serta kegiatan tidak bermoral yang tidak dilindungi di bawah undang-undang di Malaysia.
Sebagai contoh penyalahgunaan premis kesihatan dan kebajikan, WAFIQ turut membangkitkan isu paparan poster oleh JEJAKA berkaitan acara “Glamping With Pride” yang menampilkan lelaki berpakaian bikini dan berimej silang jantina.
Menurut WAFIQ, paparan visual sedemikian melangkaui mesej pencegahan HIV dan kesihatan awam, sebaliknya membawa unsur normalisasi transgenderisme dan queer melalui propaganda visual.
“Ini bukan isu tafsiran sempit, tetapi mesej visual yang disengajakan, kerana imej merupakan alat komunikasi yang kuat dalam membentuk persepsi sosial.
“Apabila lelaki dipersembahkan dalam pakaian dan gaya feminin secara terbuka dan dirayakan, ia membawa mesej bahawa kekeliruan jantina dan identiti queer adalah sesuatu yang normal dan diterima,” tegasnya.
WAFIQ melihat ini bukan sahaja satu bentuk normalisasi LGBT, tetapi juga satu percubaan untuk mengaburi persepsi umum tentang agenda sebenar di sebalik program tersebut, yang bertentangan dengan undang-undang dan nilai masyarakat kita.
Sehubungan itu, pihak berkuasa diseru menilai secara serius semua aktiviti dan bahan promosi berkaitan kesihatan agar tidak diseleweng untuk tujuan yang bercanggah dengan Perlembagaan, agama rasmi dan norma tradisi masyarakat Malaysia.-The Merdeka Times