Terkini
(VIDEO) ‘Influencer’ diingat jangan guna penderitaan mangsa demi populariti – Presiden MAPIM
- Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi, etika paling asas dalam kerja kemanusiaan ialah meletakkan diri di tempat mangsa sebelum bertindak atau berkongsi sebarang kandungan.
- Katanya, mangsa bukan bahan tontonan atau alat meraih simpati bagi mengumpul dana tanpa kejelasan pengurusan dan tujuan sebenar.
- “Jangan hanya gunakan gambar mangsa untuk mengumpul wang yang banyak, sedangkan kita sendiri tidak tahu ke mana wang itu diurus. Itu sangat sensitif,” katanya ketika ditemu bual The Merdeka Times, mengulas trend pengambilan gambar dan ‘selfie’ bersama mangsa bencana.
KUALA LUMPUR — Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid mengingatkan aktivis kemanusiaan, NGO serta pempengaruh media sosial agar menjaga etika dan maruah mangsa bencana, khususnya ketika merakam gambar atau kandungan di lapangan, kerana tindakan tidak berhemah boleh membawa kepada eksploitasi penderitaan demi kepentingan peribadi.
Menurut Mohd Azmi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi, etika paling asas dalam kerja kemanusiaan ialah meletakkan diri di tempat mangsa sebelum bertindak atau berkongsi sebarang kandungan.
Katanya, mangsa bukan bahan tontonan atau alat meraih simpati bagi mengumpul dana tanpa kejelasan pengurusan dan tujuan sebenar.
“Jangan hanya gunakan gambar mangsa untuk mengumpul wang yang banyak, sedangkan kita sendiri tidak tahu ke mana wang itu diurus. Itu sangat sensitif,” katanya ketika ditemu bual The Merdeka Times, mengulas trend pengambilan gambar dan ‘selfie’ bersama mangsa bencana.
Beliau menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan bukan bersifat meminta simpati semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab sesama saudara.
Justeru, katanya, niat membantu tidak wajar dicemari dengan keinginan untuk menunjuk aktiviti atau sekadar mengisi laporan NGO dan kandungan media sosial.
“Kita nak membantu kerana mahu menyelesaikan masalah, bukan kerana nak tunjuk kita ada aktiviti. Gambar boleh diambil, tiada salah, tetapi jangan keterlaluan sehingga mangsa menjadi latar belakang untuk ‘selfie’,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyampaikan pesanan kepada pempengaruh media sosial yang turun ke kawasan bencana atas dasar ihsan, namun didakwa ada yang memanipulasi kandungan demi meningkatkan keterlibatan dan populariti di platform masing-masing.
“Saya tidak meletakkan sangkaan buruk kepada sesiapa, tetapi semua perlu faham, tidak betul jika penderitaan mangsa digunakan untuk menaikkan nama sendiri. Kita jagalah batas supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya.
Mohd Azmi berharap semua pihak yang terlibat dalam kerja kemanusiaan, sama ada NGO, sukarelawan mahupun individu, dapat menghayati nilai empati, tanggungjawab dan adab agar bantuan yang disampaikan benar-benar memberi manfaat tanpa menjejaskan maruah mereka yang sedang diuji.-The Merdeka Times