Connect with us

Terkini

MAPIM pimpin penyelarasan NGO Malaysia ke Aceh, Sasar RM10 juta

Published

on

Foto: Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
  • Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selepas lebih sebulan tragedi tersebut berlaku, gelombang keprihatinan rakyat serta NGO tempatan amat membanggakan, namun tanpa koordinasi yang rapi, usaha bantuan berisiko bertindih, lewat disalurkan atau gagal mencapai sasaran sebenar mangsa di lapangan.
  • “Kita mahu cepat, tetapi biarlah efektif dan berkesan. Tanpa koordinasi, hasrat untuk benar-benar membantu tidak akan tercapai,” katanya sewaktu ditemui The Merdeka Times.
  • MAPIM bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan membentuk jawatankuasa pemandu yang dianggotai lima hingga 10 wakil NGO bagi menyusun peranan dan fokus masing-masing di lapangan.

KUALA LUMPUR — Susulan skala kemusnahan yang meluas dan keperluan mendesak mangsa bencana di Aceh, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengumumkan hasrat untuk menyelaras secara berpusat semua gerakan bantuan NGO Malaysia ke wilayah itu bagi memastikan setiap sumbangan dapat disampaikan dengan pantas, tersusun dan benar-benar memberi impak.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selepas lebih sebulan tragedi tersebut berlaku, gelombang keprihatinan rakyat serta NGO tempatan amat membanggakan, namun tanpa koordinasi yang rapi, usaha bantuan berisiko bertindih, lewat disalurkan atau gagal mencapai sasaran sebenar mangsa di lapangan.

Menurut beliau, pendekatan penyelarasan ini penting bagi menentukan keutamaan kawasan, jenis bantuan, tempoh penyaluran serta saluran yang paling cepat, selain memastikan maruah dan sensitiviti mangsa terus terpelihara sepanjang misi kemanusiaan.

Mohd Azmi, yang juga dikenali sebagai Cikgu Azmi, menjelaskan bahawa keperluan di Aceh bukan sahaja besar malah melibatkan kawasan yang luas, justeru gerakan pantas semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertai keberkesanan.

“Kita mahu cepat, tetapi biarlah efektif dan berkesan. Tanpa koordinasi, hasrat untuk benar-benar membantu tidak akan tercapai,” katanya sewaktu ditemui The Merdeka Times.

Beliau berkata, antara fokus utama penyelarasan ialah menetapkan keutamaan kawasan yang paling terjejas, tempoh bantuan disalurkan serta kaedah agihan supaya bantuan sampai tepat kepada mangsa.

Katanya, semua aspek itu termasuk di bawah kerangka koordinasi yang sistematik dan berfokus.

Mengulas kebimbangan sesetengah NGO mengenai kelewatan akibat birokrasi, Mohd Azmi memaklumkan MAPIM akan memastikan jalur komunikasi dibuat secara langsung dengan pihak berkuasa Aceh.

Beliau berkata, meskipun proses pentadbiran kerajaan setempat mempunyai prosedur tertentu, hubungan rasmi dengan autoriti adalah penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara sah dan selamat.

“Saya telah diberikan ruang untuk berhubung terus dengan pejabat gabenor Aceh. Saya menyeru NGO-NGO di Malaysia agar memberikan kepercayaan kepada saya untuk berbincang mengenai saluran paling cepat, agensi tempatan yang boleh bertindak segera serta kaedah agihan yang berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Azmi mengumumkan sasaran RM10 juta bagi Misi Bantuan Aceh menjelang Ramadan, dengan keutamaan kepada pembinaan shelter dan perumahan, selain keperluan makanan serta rawatan perubatan.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 13 perkampungan terjejas teruk dengan lebih 1,000 rumah musnah sepenuhnya.

Beliau menjelaskan kos bagi sebuah rumah asas kekal dianggarkan tidak kurang daripada RM20,000 bagi unit dua hingga tiga bilik bersama kemudahan asas.

“Jika satu rumah yang musnah sepenuhnya mencecah kos RM150,000, RM10 juta itu masih belum mencukupi. Namun ia penting sebagai permulaan untuk membantu mangsa bangkit,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Azmi memaklumkan pihaknya turut memohon sumbangan daripada kerajaan Persekutuan, termasuk cadangan sumbangan RM5 juta, di samping menggerakkan kutipan zakat, sumbangan individu, korporat serta dana dari luar negara bagi mencapai sasaran tersebut secepat mungkin.

Beliau turut mengesahkan bahawa penyelarasan bantuan ke Aceh telah dilaksanakan serta-merta, tanpa memerlukan pelancaran rasmi.

MAPIM bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan membentuk jawatankuasa pemandu yang dianggotai lima hingga 10 wakil NGO bagi menyusun peranan dan fokus masing-masing di lapangan.

Mohd Azmi berkata, YADIM dicadangkan sebagai penerima tabung bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan kekeliruan awam mengenai saluran sumbangan, sementara MAPIM akan bertindak sebagai penyelaras utama gerakan bantuan.

Beliau menegaskan bahawa semua NGO yang berhasrat ke Aceh perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk memperincikan jenis bantuan, rakan pelaksana tempatan, tempoh berada di lapangan serta fungsi khusus masing-masing.

“Dengan SOP yang jelas, pergerakan NGO akan lebih mudah, tersusun dan berkesan. Matlamat kita bukan sekadar sampai ke Aceh, tetapi memastikan bantuan benar-benar memberi manfaat kepada mangsa,” katanya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author