Terkini
Jaminan bank sahaja tidak mencukupi tanpa penguatkuasaan tegas – MATA
- Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Seri Mohd Khalid Harun berkata, walaupun langkah kerajaan itu wajar disambut baik, keberkesanannya bergantung kepada pelaksanaan menyeluruh dan tadbir urus yang berkesan.
- Menurut beliau, pelaksanaan syarat jaminan bank merupakan mekanisme perlindungan kewangan yang penting, khususnya bagi pakej pelancongan bernilai tinggi seperti umrah dan pelancongan luar negara.
- Bagaimanapun, Datuk Seri Mohd Khalid menegaskan dasar tersebut perlu dilaksanakan secara adil dan berperingkat agar tidak membebankan agensi kecil.
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan syarat jaminan bank terhadap agensi pelancongan tidak mencukupi sekiranya tidak disokong oleh penguatkuasaan yang tegas, audit berkala serta mekanisme tuntutan yang jelas dan pantas bagi melindungi pengguna daripada penipuan.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Seri Mohd Khalid Harun berkata, walaupun langkah kerajaan itu wajar disambut baik, keberkesanannya bergantung kepada pelaksanaan menyeluruh dan tadbir urus yang berkesan.
“Namun demikian, kami berpandangan bahawa jaminan bank sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disokong oleh penguatkuasaan yang tegas, audit berkala serta mekanisme tuntutan yang jelas dan pantas.
“Tanpa pelaksanaan menyeluruh, pengguna masih terdedah kepada risiko penipuan dalam bentuk perkhidmatan tidak setimpal atau kegagalan operasi,” katanya kepada The Merdeka Times.
Menurut beliau, pelaksanaan syarat jaminan bank merupakan mekanisme perlindungan kewangan yang penting, khususnya bagi pakej pelancongan bernilai tinggi seperti umrah dan pelancongan luar negara.
“Kami menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan syarat jaminan bank ke atas agensi pelancongan sebagai usaha melindungi pengguna daripada penipuan.
“Langkah ini juga mampu meningkatkan tahap akauntabiliti dalam industri serta berpotensi menyaring agensi yang tidak berdaya saing atau beroperasi secara tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
Bagaimanapun, Datuk Seri Mohd Khalid menegaskan dasar tersebut perlu dilaksanakan secara adil dan berperingkat agar tidak membebankan agensi kecil.
“Dasar ini juga perlu dilaksanakan secara adil dan berperingkat, agar tidak membebankan agensi kecil yang berintegriti serta mengelakkan monopoli oleh pemain besar,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan pengguna supaya rakyat tidak terpedaya dengan pakej terlalu murah tanpa membuat semakan latar belakang agensi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan pelaksanaan syarat jaminan bank bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, penguatkuasa, pemain industri dan pengguna sendiri.
“Kesimpulannya, pelaksanaan syarat jaminan bank adalah satu langkah ke hadapan yang positif, namun kejayaannya bergantung kepada tadbir urus yang baik, ketelusan, dan kerjasama semua pihak demi memulihkan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap industri pelancongan negara,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengarahkan mekanisme jaminan bank segera dilaksanakan sebagai syarat mandatori kepada agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.
Beliau berkata langkah itu penting untuk memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi dan pampasan dapat disalurkan tanpa kelewatan sekiranya berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi melaksanakan sesuatu pakej umrah. – The Merdeka Times