Terkini
Nasihat Agong kepada PTD baharu: ‘Tutup pintu rasuah, jangan bawa masuk ‘orang tengah’, ‘ejen’
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu supaya memastikan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
- “Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Seri Paduka Baginda dalam satu hantaran di Facebook.
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu supaya memastikan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan serta kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut mengingatkan bahawa kepemimpinan yang berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab.
Sultan Ibrahim, menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Seri Paduka Baginda dalam satu hantaran di Facebook.
Baginda menegaskan, ketegasan dalam menutup ruang kepada pengaruh pihak ketiga yang tidak berkepentingan adalah penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara berintegriti demi kepentingan pasukan dan negara.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda hari ini berkenan menerima mengadap PTD baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman di Istana Bukit Tunku, di sini.
Jeneral Datuk Azhan secara rasmi dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan berkenaan adalah selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025. – The Merdeka Times