Terkini
FINAS didakwa jadi lubuk rasuah – Murali Abdullah
- Pengarah filem, Murali Abdullah terkejut apabila seorang produser filem yang disifatkannya agak terkenal didakwa memperoleh kelulusan peruntukan sebanyak RM60,000 bagi menjalankan kelas perfileman secara dalam talian, walaupun kos sebenar program seumpama itu adalah jauh lebih rendah.
- “Saya sendiri pernah buat kelas filem secara online, kos saya tak sampai RM2,000 pun. FINAS kini lubuk rasuah!!!,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR – Pengarah filem, Murali Abdullah, mendakwa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kini terpalit dengan amalan rasuah yang serius, khususnya dalam kelulusan projek dan program berkaitan industri perfileman.
Menurut Murali, beliau terkejut apabila seorang produser filem yang disifatkannya agak terkenal didakwa memperoleh kelulusan peruntukan sebanyak RM60,000 bagi menjalankan kelas perfileman secara dalam talian, walaupun kos sebenar program seumpama itu adalah jauh lebih rendah.
“Saya sendiri pernah buat kelas filem secara online, kos saya tak sampai RM2,000 pun,” tulis beliau dalam hantaran Facebooknya.
Beliau mendakwa kelulusan peruntukan berjumlah RM60,000 itu diberikan oleh seorang pegawai FINAS yang dirujuknya sebagai “Mr R”, yang menurut Murali, mempunyai reputasi sebagai “kaki rasuah”.
Murali berkata, kes tersebut hanyalah melibatkan seorang pegawai di bahagian pendidikan, dan beliau bimbang tahap salah guna kuasa yang lebih besar mungkin berlaku di bahagian lain, khususnya yang mengendalikan dana perfileman.
“Ini baru satu kes. Saya tak dapat bayangkan apa yang berlaku di bahagian lain, terutama bahagian dana filem,” katanya.
Susulan dakwaan itu, Murali menyatakan keyakinannya bahawa integriti FINAS telah runtuh, malah menyifatkan badan tersebut sebagai sudah “finish” jika amalan berkenaan tidak ditangani secara menyeluruh dan telus.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya tidak menyalurkan peruntukan belanjawan yang dianggarkan hampir RM120 juta kepada FINAS selagi isu integriti dan tadbir urus tidak diselesaikan.
“Ini duit rakyat. Jangan bazirkan duit kami,” tegasnya.-The Merdeka Times