Terkini
Langkah pisah kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya tingkat ketelusan sistem keadilan
- Pensyarah Undang-Undang UIAM, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, pemisahan tersebut penting kerana Peguam Negara pada masa ini berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan dalam masa yang sama mempunyai kuasa menentukan pendakwaan.
- Beliau berharap semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara dapat memberikan sokongan demi kepentingan sistem perundangan dan tadbir urus negara.
KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya disifatkan sebagai satu tindakan positif yang mampu memperkukuhkan kebebasan sistem keadilan negara serta mengelakkan konflik kepentingan, khususnya dalam kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh politik.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, pemisahan tersebut penting kerana Peguam Negara pada masa ini berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan dalam masa yang sama mempunyai kuasa menentukan pendakwaan.
“Pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara adalah suatu tindakan positif yang cuba dilakukan oleh pihak kerajaan. Ini bagi mengelak daripada berlakunya ‘conflict of interest’ yang mana peguam negara juga, peguam negara adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan.
“Dan pada masa yang sama sekiranya Peguam Negara masih lagi mempunyai kuasa menentukan pendakwaan, pastinya ada persoalan konflik antara tugas sebagai penasihat kerajaan dan juga pendakwa bagi mereka yang terutamanya yang melibatkan orang-orang politik.
“Jadi ini dia boleh mengurangkan sangkaan ataupun dakwaan mengatakan peguam negara ini bertindak atas terlunjuk kerajaan semata-mata,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Menurut beliau, pemisahan tersebut turut memberi kesan besar terhadap pengendalian kes jenayah berprofil tinggi, terutamanya kes yang melibatkan individu berpengaruh dalam arena politik serta pihak yang mempunyai kuasa sebelum pembentukan sesebuah kerajaan.
Tambahnya, kewajaran pelaksanaan langkah itu adalah untuk memastikan Pendakwa Raya atau dapat menjalankan tugas secara bebas tanpa sebarang pengaruh daripada pihak eksekutif.
“Kewajarannya dalam pelaksanaan langkah ini ialah untuk memastikan Pendakwa Raya itu tidak sepatutnya dipengaruhi oleh pihak kerajaan.
“Dan juga Peguam Negara ini kekal sebagai orang yang memberi nasihat kepada kerajaan serta beliau tidak terlibat secara langsung dalam menentukan pendakwaan kepada mana-mana pihak,” tegasnya.
Shamrahayu secara peribadi menyatakan sokongan terhadap hasrat kerajaan tersebut dan percaya bahawa kajian terperinci telah dilakukan sebelum sebarang pindaan undang-undang diumumkan.
“Secara peribadinya saya menyokong baiklah tindakan kerajaan dan saya percaya kajian-kajian yang terperinci telah dilakukan sebelum kerajaan mengumumkan pindaan kepada undang-undang ini.”
Sehubungan itu, beliau berharap semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara dapat memberikan sokongan demi kepentingan sistem perundangan dan tadbir urus negara.- The Merdeka Times.