Terkini
Pemisahan kuasa Peguam Negara tidak ada makna jika politik masih ‘di belakang tabir’ -Peguam
- Menurut peguam, Aidil Khalid, perkara paling mustahak dalam reformasi institusi perundangan negara bukan sekadar pemisahan struktur antara kedua-dua jawatan tersebut, sebaliknya memastikan pendakwaan dan nasihat undang-undang benar-benar dilaksanakan secara bebas, profesional dan tanpa campur tangan politik.
- “Tiada guna juga jika dipisahkan, tetapi hanya secara kosmetik sahaja, sedangkan tangan-tangan ghaib masih bebas mengawal dan mempengaruhi di balik tabir atas arahan dan wahyu daripada orang politik,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR – Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ia hanya bersifat kosmetik dan gagal menjamin integriti serta kebebasan sebenar daripada pengaruh politik, tegas peguam, Aidil Khalid.
Menurut beliau, perkara paling mustahak dalam reformasi institusi perundangan negara bukan sekadar pemisahan struktur antara kedua-dua jawatan tersebut, sebaliknya memastikan pendakwaan dan nasihat undang-undang benar-benar dilaksanakan secara bebas, profesional dan tanpa campur tangan politik.
“Tiada guna juga jika dipisahkan, tetapi hanya secara kosmetik sahaja, sedangkan tangan-tangan ghaib masih bebas mengawal dan mempengaruhi di balik tabir atas arahan dan wahyu daripada orang politik,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
Aidil turut memetik defisit kepercayaan masyarakat terhadap integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini yang didakwa sering berpihak pada ahli politik kerajaan.
“Contoh paling mudah ialah bagaimana runtuhnya kepercayaan orang ramai terhadap kebebasan dan integriti SPRM kini, walaupun SPRM adalah pejabat yang terpisah dan tersendiri dari Pejabat Peguam Negara.
“Tapi terpalit dengan krisis kepercayaan, dalam kes Albert Tei, misalnya, bila mana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tidak menunjukkan kebebasan dan profesionalisme — awal-awal lagi pendedahan oleh whistle blower sudah diistilahkan oleh SPRM sebagai kononnya ‘tohmahan’ hanya sebab ia memalit pihak-pihak tertentu dalam kerajaan, demikian juga bila tiada siasatan bila berkait pihak tertentu dalam Kerajaan,”tegasnya.
Mengulas lanjut, Aidil menjelaskan bahawa konflik kepentingan sememangnya tidak dapat dielakkan apabila Peguam Negara yang menasihati kerajaan dan menteri turut memegang kuasa sebagai Pendakwaraya yang sepatutnya mendakwa mana-mana pemimpin politik jika wujud salah guna kuasa atau rasuah.
Beliau mengingatkan bahawa keadaan ini pernah berlaku sebelum ini, termasuk penarikan balik pendakwaan terhadap Lim Guan Eng sejurus selepas beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan, yang ketika itu turut mengejutkan SPRM selaku badan penyiasat.
Aidil turut merujuk kepada keputusan bekas Peguam Negara, Apandi Ali, yang memutuskan untuk tidak mendakwa Najib Razak dengan alasan tiada kesalahan dilakukan, sebelum keputusan itu berubah selepas pertukaran kerajaan, sehingga Najib akhirnya didakwa, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Menurut beliau, contoh-contoh ini membuktikan bahawa kuasa mendakwa yang terikat rapat dengan nasihat politik membuka ruang besar kepada tekanan dan pengaruh eksekutif.
“Justeru pemisahan antara kuasa Peguam Negara dengan Pendakwaraya akan menyelesaikan konflik ini. Seandainya perkara ini dilaksanakan, dalam aspek politik dan pentadbiran, kita pergi ke Jabatan Peguam Negara.
“Manakala, dalam aspek pendakwaan, kita akan rujuk golongan profesional di Pejabat Pendakwaraya. Oleh itu, pendakwaan akan dapat dijalankan secara bebas tanpa sebarang tekanan politik. Pejabat Peguam negara pula boleh tumpukan usaha untuk menasihati kerajaan dalam isu undang-undang,” jelasnya.
Namun beliau mengingatkan, pemisahan tersebut hanya akan berjaya jika disertai dengan budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang sebenar.
Jika tidak, beliau berkata, reformasi itu berisiko mengulangi situasi yang sama seperti krisis kepercayaan terhadap SPRM, walaupun agensi itu secara struktur terpisah daripada Pejabat Peguam Negara.-The Merdeka Times