Connect with us

Terkini

Siapa mangsa Amerika Syarikat seterusnya? – Raja Bahrin

Published

on

Foto: Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah Raja Ahmad.
  • “Alasan bahawa Venezuela adalah sumber utama dadah ke AS adalah tidak benar kerana statistik menunjukkan Colombia ialah sumber utama dan Mexico ialah laluan utama bekalan tersebut. Dakwaan palsu ini sama seperti dakwaan dahulu bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran yang digunakan untuk menghalalkan pencerobohan ke atas Iraq bagi mendapatkan akses kepada sumber minyaknya yang kaya,” – Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH
  • Raja Bahrin menegaskan keperluan mendesak dunia untuk beralih kepada sistem dunia berbilang kutub (multipolar), di mana setiap negara mempunyai kebebasan membuat pilihan tanpa tekanan kuasa besar.

KUALA LUMPUR – Tindakan Amerika Syarikat yang didakwa menculik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dan isterinya mencerminkan tahap keangkuhan kuasa hegemonik yang semakin berbahaya serta mengancam kedaulatan negara-negara lain, kata Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut beliau, walaupun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini kerap mengeluarkan ancaman yang tidak direalisasikan, tindakan terhadap Venezuela kali ini membuktikan ancaman tersebut benar-benar dilaksana, sekali gus mengejutkan dunia antarabangsa.

“Ini menunjukkan betapa terdesaknya Amerika Syarikat untuk menguasai minyak Venezuela, yang merupakan simpanan minyak terkaya di dunia,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Raja Bahrin turut menegaskan bahawa motif sebenar pencerobohan tersebut adalah ekonomi dan geopolitik, bukan keselamatan global seperti yang sering didakwa Washington.

Mengulas dakwaan bahawa Venezuela merupakan sumber utama dadah ke Amerika Syarikat, beliau menyifatkan alasan itu sebagai tidak berasas kerana statistik menunjukkan Colombia adalah pengeluar utama, manakala Mexico pula merupakan laluan utama penyeludupan dadah ke negara itu.

“Alasan bahawa Venezuela adalah sumber utama dadah ke AS adalah tidak benar kerana statistik menunjukkan Colombia ialah sumber utama dan Mexico ialah laluan utama bekalan tersebut.

“Dakwaan palsu ini sama seperti dakwaan dahulu bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran yang digunakan untuk menghalalkan pencerobohan ke atas Iraq bagi mendapatkan akses kepada sumber minyaknya yang kaya,” jelas beliau.

Raja Bahrin turut menarik perhatian kepada kebangkitan gerakan nasionalis di Afrika yang berusaha menyingkirkan pengaruh kuasa Barat daripada mengeksploitasi sumber asli benua tersebut.

Beliau berkata, kepimpinan Ibrahim Traoré di Burkina Faso menjadi contoh jelas penentangan terhadap dominasi Barat yang semakin ketara di Afrika.

Beliau memberi amaran bahawa tindakan Amerika Syarikat terhadap Venezuela mewujudkan preseden berbahaya kerana menghantar mesej bahawa mana-mana negara boleh dirampas kedaulatannya sekiranya memiliki sumber yang diinginkan oleh Washington.

Sehubungan itu, Raja Bahrin menegaskan keperluan mendesak dunia untuk beralih kepada sistem dunia berbilang kutub (multipolar), di mana setiap negara mempunyai kebebasan membuat pilihan tanpa tekanan kuasa besar.

“Di sinilah BRICS menawarkan alternatif yang sangat diperlukan kepada dunia. Banyak negara kini berpaling kepada China dan Rusia berdepan dengan tindakan kewangan dan ketenteraan AS yang amat agresif,” tambah beliau.

Beliau juga mengecam pengabaian undang-undang antarabangsa oleh Amerika Syarikat, termasuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC), sambil menyifatkan kecaman masyarakat antarabangsa terhadap serangan ke atas Venezuela seolah-olah tidak bermakna kepada Washington.

Raja Bahrin mengingatkan bahawa sejarah pencerobohan Amerika Syarikat di Vietnam, Afghanistan, Iraq, Libya dan Panama telah membawa kemusnahan besar, dan kini Venezuela menjadi mangsa terbaharu.

Beliau menjangkakan dunia berdepan lebih banyak kekacauan dan peperangan oleh Amerika Syarikat dalam bulan-bulan mendatang tahun 2026, sambil mempersoalkan negara manakah pula yang bakal menjadi mangsa seterusnya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author