Terkini
Budaya ‘Awek Yeye’ tak mungkin berlaku tanpa pengetahuan pihak atasan – Peguam
- Peguam Dr Zulqarnain Lukman menegaskan bahawa salah laku sedemikian bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara senyap tanpa pengetahuan pihak tertentu, sekali gus menimbulkan persoalan serius sama ada ia berlaku dengan kerjasama pihak kawalan keselamatan atau dilindungi oleh pegawai atasan.
- “Pihak MINDEF juga perlu menyiasat bagaimanakah hal sedemikian boleh berlaku kerana hal tersebut bukanlah hal boleh dilakukan secara sembunyi-sembunyi memandangkan kem tentera adalah satu tempat yang penuh dengan kawalan keselamatan. Hal ini mesti berlaku dengan kerjasama pihak kawalan keselamatan atau dilindungi oleh pegawai atasan,” katanya kepada The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) digesa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti bagaimana dakwaan budaya tidak bermoral yang dikenali sebagai “awek yeye” boleh berlaku dalam kawasan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sedangkan kem tentera merupakan kawasan kawalan ketat dengan tahap keselamatan tinggi.
Peguam Dr Zulqarnain Lukman menegaskan bahawa salah laku sedemikian bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara senyap tanpa pengetahuan pihak tertentu, sekali gus menimbulkan persoalan serius sama ada ia berlaku dengan kerjasama pihak kawalan keselamatan atau dilindungi oleh pegawai atasan.
“Pihak MINDEF juga perlu menyiasat bagaimanakah hal sedemikian boleh berlaku kerana hal tersebut bukanlah hal boleh dilakukan secara sembunyi-sembunyi memandangkan kem tentera adalah satu tempat yang penuh dengan kawalan keselamatan.
“Hal ini mesti berlaku dengan kerjasama pihak kawalan keselamatan atau dilindungi oleh pegawai atasan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Dr Zulqarnain berkata, Akta Tentera 1972 (Akta 77) telah memperuntukkan kuasa jelas kepada pihak ATM untuk menjalankan siasatan dalaman serta mendakwa anggota atau pegawai terlibat melalui Mahkamah Tentera sekiranya terdapat bukti yang mencukupi.
Beliau menjelaskan bahawa kesalahan moral seperti yang didakwa dalam isu “awek yeye” boleh disiasat di bawah Seksyen 83 Akta 77, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau hukuman lebih ringan terhadap anggota yang disabitkan kesalahan berkelakuan keji daripada jenis lucah atau luar tabii.
Selain itu, Seksyen 85 Akta 77 pula memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pegawai yang berkelakuan secara mengaibkan serta bercanggah dengan tingkah laku seorang pegawai, termasuk hukuman dibuang kerja dengan keji daripada perkhidmatan selepas disabitkan oleh Mahkamah Tentera.
“Tiap-tiap pegawai yang tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan di bawah Akta ini yang berkelakuan secara mengaibkan, bertentangan dengan tingkah laku seseorang pegawai atau seseorang yang baik budi bahasanya boleh, apabila disabitkan oleh mahkamah tentera, dibuang kerja dengan keji daripada perkhidmatan Seri Paduka Baginda,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa MINDEF memastikan siasatan dijalankan secara telus dan bebas tanpa mengira pangkat atau kedudukan, serta memberi jaminan bahawa tiada mana-mana individu akan dilindungi sekiranya bukti mencukupi.-The Merdeka Times