Connect with us

Terkini

Jual badal haji tanpa permit khas, agensi umrah dianggap salah guna visa, permit haji – Ummah

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah), Mohd Zai Mustafa menekankan kepentingan pendidikan dan advokasi awam agar masyarakat tidak terpedaya dengan tawaran badal haji yang menjanjikan kemudahan tanpa prosedur sah.
  • Beliau berkata dari sudut undang-undang Malaysia, amalan menjalankan badal haji tanpa permit khas merupakan salah guna kebenaran visa dan permit sedia ada.
  • Menurutnya, isu tersebut bukan sahaja melibatkan pelanggaran peraturan haji antarabangsa, malah turut merangkumi kesalahan di bawah undang-undang perniagaan di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah), Mohd Zai Mustafa menekankan kepentingan pendidikan dan advokasi awam agar masyarakat tidak terpedaya dengan tawaran badal haji yang menjanjikan kemudahan tanpa prosedur sah.

Menurut beliau, dari sudut undang-undang Malaysia, amalan menjalankan badal haji tanpa permit khas merupakan salah guna kebenaran visa dan permit sedia ada.

“Individu yang ingin membuat badal haji, sama seperti mengerjakan haji, perlu mendapatkan permit khas badal haji atau visa badal haji.

“Ini satu keperluan penting dan perlu diselesaikan secara kerajaan dengan kerajaan (Government to Government). Perlu ada kuota khas daripada Arab Saudi bagi kebenaran badal haji kepada Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times

Menurut beliau, isu tersebut bukan sahaja melibatkan pelanggaran peraturan haji antarabangsa, malah turut merangkumi kesalahan di bawah undang-undang perniagaan di Malaysia.

“Isu ini adalah pelanggaran aktiviti perniagaan mengikut undang-undang Malaysia dan satu bentuk penipuan.

“Tawaran yang diberikan kepada individu untuk badal haji adalah tidak sah tanpa kebenaran khas yang dikeluarkan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mohd Zai menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap agensi yang menawarkan pakej badal haji secara tidak sah.

“Kerajaan perlu mengharamkan terus perniagaan ini terhadap agensi yang menipu pakej haji, jika tiada kebenaran khas diberikan oleh Arab Saudi.

“Penipuan yang dilakukan syarikat dengan memperdaya pengguna perlu diambil tindakan segera dan tegas oleh pihak kerajaan,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan, Umat Islam diingatkan supaya lebih bijak dan berhati-hati menilai iklan tawaran badal haji serendah RM1,500 kerana ia berisiko tinggi melibatkan penipuan dan tidak menepati syarat sah pelaksanaan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata tawaran badal haji secara komersial dengan harga sedemikian adalah tidak munasabah dan tidak selari dengan kos sebenar yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata pakej perkhidmatan badal haji yang ditawarkan adalah sukar dilaksanakan secara komersial kerana setiap jemaah haji, termasuk penduduk tempatan di Arab Saudi kini perlu memiliki visa haji yang sah untuk menunaikan haji.

Selain itu, beliau berkata kerajaan Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah luar negara memiliki visa haji yang sah, manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit khas dan tidak semua permohonan akan diluluskan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author