Terkini
Wanita hina Islam, ludah polis sudah ditangkap
- Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata pada pukul lebih kurang 1.11 tengah hari, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Kota Setar telah menerima satu panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang individu telah bertindak menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di Mergong.
- Bagaimanapun, jelasnya, suspek secara tiba tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun, serta membuat isyarat lucah dengan menunjukkan jari tengah ke arah salah seorang anggota polis selain turut membaling kad pengenalan miliknya ke arah badan anggota tersebut.
- Dalam kejadian sama katanya, suspek turut mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam.
ALOR SETAR – Polis menahan seorang wanita warga tempatan yang bertindak agresif terhadap anggota polis serta mencetuskan kekecohan awam dalam satu kejadian di Mergong.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata pada pukul lebih kurang 1.11 tengah hari, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Kota Setar telah menerima satu panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang individu dipercayai kurang siuman telah bertindak menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di Mergong.
Tambah beliau, susulan maklumat tersebut, DCC Kota Setar telah mengarahkan dua orang anggota polis yang menaiki kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
“Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati suspek merupakan seorang wanita warga tempatan sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
“Anggota polis kemudiannya memperkenalkan diri serta cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek supaya bertenang dan memberi kerjasama,’ katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, jelasnya, suspek secara tiba tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun, serta membuat isyarat lucah dengan menunjukkan jari tengah ke arah salah seorang anggota polis selain turut membaling kad pengenalan miliknya ke arah badan anggota tersebut.
“Suspek juga bertindak meludah ke arah anggota polis berkenaan sebanyak dua kali serta meludah ke arah beberapa orang rakan sekerjanya yang turut berada di lokasi kejadian.
“Dalam kejadian yang sama, suspek turut mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam. Kejadian tersebut telah dirakam oleh orang awam, dan rakaman video berkenaan kemudiannya diviralkan di platform media sosial TikTok,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, katanya, suspek telah ditangkap pada 31 Disember lepas kira-kira pukul 2.30 petang dan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada 1 Januari lalu bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam semasa menjalankan tugas.
“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan kemarahan atau menyinggung perasaan penganut mana-mana agama.
“Polis juga turut siasat kes di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang melalui perkataan atau isyarat yang tidak senonoh,” ujar kenyataan tersebut. – The Merdeka Times.