Connect with us

Terkini

Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) mesti jamin kebebasan media – GERAMM

Published

on

Foto: Logo Gerakan Media Merdeka (GERAMM) (kiri) dan Majlis Media Malaysia (MMM) (kanan).
  • Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menegaskan, penubuhan MMM mesti menjamin kebebasan sebenar industri media dan tidak disalahgunakan sebagai mekanisme kawalan terhadap wartawan atau organisasi pemberitaan.
  • GERAMM turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan tekanan yang dihadapi industri media sepanjang tahun lalu, termasuk siasatan, rampasan peralatan, ugutan keselamatan, tindakan undang-undang serta ketidaktentuan ekonomi yang menjejaskan kestabilan organisasi dan kebajikan pekerja media.
  • Memasuki 2026, GERAMM turut menyasarkan perluasan penyertaan dengan melibatkan lebih ramai wartawan muda, editor berpengalaman, tenaga digital, ahli akademik, peguam media serta komuniti kreatif bagi memperkukuh gerakan tersebut.

KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) merupakan peluang penting untuk mewujudkan standard industri yang jelas, ruang aduan yang adil, dan ekosistem media yang profesional.

Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menegaskan, penubuhan MMM mesti menjamin kebebasan sebenar industri media dan tidak disalahgunakan sebagai mekanisme kawalan terhadap wartawan atau organisasi pemberitaan.

Menurut GERAMM, tahun 2025 berakhir dengan peringatan pahit mengenai realiti kebebasan media di negara ini apabila sebuah komputer riba milik editor Malaysiakini dirampas pihak berkuasa susulan laporan polis oleh seorang ahli politik hanya kerana pelaporan berita.

“Tindakan ini bukan sahaja mencabar kebebasan media, malah menghantar isyarat berbahaya bahawa wartawan masih berdepan risiko gangguan dan intimidasi ketika melaporkan isu berkepentingan awam,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

GERAMM turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan tekanan yang dihadapi industri media sepanjang tahun lalu, termasuk siasatan, rampasan peralatan, ugutan keselamatan, tindakan undang-undang serta ketidaktentuan ekonomi yang menjejaskan kestabilan organisasi dan kebajikan pekerja media.

“Namun dalam cabaran ini, kita juga melihat keberanian, solidariti, dan keteguhan profesionalisme dalam kalangan wartawan, editor, jurufoto, pembikin video, penyumbang bebas dan seluruh ekosistem pemberita,” jelasnya.

Memasuki 2026, GERAMM turut menyasarkan perluasan penyertaan dengan melibatkan lebih ramai wartawan muda, editor berpengalaman, tenaga digital, ahli akademik, peguam media serta komuniti kreatif bagi memperkukuh gerakan tersebut.

“Tahun 2026 menandakan satu fasa penting dalam GERAMM. Dengan kepimpinan baharu, GERAMM berhasrat untuk bekerja rapat dengan lebih ramai wartawan muda, editor berpengalaman, tenaga digital, akademik, peguam media, serta komuniti kreatif untuk memperkukuh gerakan ini.

“GERAMM komited untuk menjadi platform penyertaan yang lebih terbuka, lebih progresif dan lebih inklusif,” katanya.

Selain itu, GERAMM menggesa pendidikan dan literasi media diangkat sebagai keutamaan nasional bagi memastikan masyarakat memahami nilai maklumat sahih serta mampu mengenal pasti manipulasi dan disinformasi.

“Tumpuan perlu diberikan pada pemahaman masyarakat mengenai proses editorial, nilai maklumat sahih, serta kaedah mengenali manipulasi dan disinformasi.

“Tanpa masyarakat yang celik media, kebebasan pers tidak dapat dipertahankan secara bermakna,” tegasnya.

Dalam masa sama, isu hak, keselamatan dan kebajikan pekerja media seperti gaji tertunggak, kontrak tidak adil, keselamatan di lapangan dan kesejahteraan mental turut ditekankan sebagai agenda utama advokasi.

Sebagai gerakan yang diasaskan atas kesukarelawanan wartawan sejak 2013, GERAMM menegaskan tekadnya untuk terus memperkukuh solidariti dan memperhebat suara bersama demi mempertahankan kebebasan media serta hak masyarakat untuk menerima maklumat yang bebas dan berintegriti. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author