Terkini
PAS perlu beralih daripada kepimpinan ideologi jika mahu terajui PN – Penganalisis
- Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, dari sudut organisasi, PAS sememangnya memiliki struktur parti yang stabil, kepimpinan berlapik serta disiplin dalaman yang tinggi, namun keupayaan menyatukan parti sendiri tidak semestinya sama dengan keupayaan memimpin sebuah gabungan pelbagai ideologi dan etnik seperti PN.
- Keupayaan PAS untuk menerajui PN banyak bergantung kepada kesediaannya menampilkan kepimpinan yang lebih kolektif, sederhana dan berorientasikan dasar nasional.
KUALA LUMPUR – Keupayaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada sejauh mana parti itu bersedia beralih daripada kepimpinan berasaskan ideologi kepada kepimpinan gabungan yang menekankan rundingan, kompromi dan sensitiviti antara parti.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, dari sudut organisasi, PAS sememangnya memiliki struktur parti yang stabil, kepimpinan berlapik serta disiplin dalaman yang tinggi, namun keupayaan menyatukan parti sendiri tidak semestinya sama dengan keupayaan memimpin sebuah gabungan pelbagai ideologi dan etnik seperti PN.
“Kepimpinan nasional PAS lebih berakar kepada legitimasi ideologi dan sokongan teras Melayu-Islam.
“Cabarannya ialah sama ada kepimpinan tersebut mampu berfungsi sebagai coalition manager, iaitu memimpin melalui rundingan, kompromi dan sensitiviti antara parti bukan sekadar melalui autoriti moral atau kekuatan jentera,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Menurut beliau, secara teori, penyelarasan kepimpinan dalam PN tidak mustahil memandangkan PAS mempunyai pengalaman bekerjasama dalam gabungan sebelum ini termasuk dalam Barisan Nasional dan PN sendiri, tetapi ia memerlukan tahap penyesuaian politik yang tinggi
“PAS mempunyai pengalaman bekerjasama dalam gabungan sebelum ini, termasuk dalam Barisan Nasional dan PN sendiri, yang menunjukkan wujud ruang pragmatisme politik.
“Namun, dalam konteks PN, cabaran utamanya ialah bagaimana agenda Islam PAS diterjemahkan dalam bentuk dasar yang bersifat inklusif, bukan retorik eksklusif.
“Selagi agenda tersebut dibingkaikan dalam kerangka tadbir urus, keadilan sosial dan kebajikan sejagat, penyelarasan masih boleh berlaku,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa jika agenda itu dilihat terlalu normatif atau ideologikal, ia berpotensi mencetuskan ketegangan dalaman serta kebimbangan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Mengulas pola sokongan pilihan raya kebelakangan ini, Mujibu berkata penerimaan pengundi bukan Melayu terhadap PAS masih rendah dan bersifat berhati-hati, dengan persepsi yang sering mengaitkan parti itu kepada agenda agama yang dianggap kurang inklusif.
“Saya lihat sekiranya PAS menerajui PN, cabarannya bukan sekadar soal kepimpinan, tetapi soal persepsi dan kepercayaan.
“Tanpa naratif yang jelas mengenai perlindungan kepelbagaian, kebebasan beragama dan tadbir urus yang adil, sukar untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan keupayaan PAS untuk menerajui PN banyak bergantung kepada kesediaannya menampilkan kepimpinan yang lebih kolektif, sederhana dan berorientasikan dasar nasional.
“PAS kuat sebagai parti teras, tetapi memimpin gabungan memerlukan keupayaan memujuk, menenangkan dan mengimbangi, bukan hanya memobilisasi sokongan sendiri.
“Jika PAS dapat menampilkan kepimpinan yang bersifat kolektif, sederhana dan berorientasikan dasar nasional, maka penerajuannya mungkin dapat diterima dalam PN,” katanya.
Namun beliau memberi amaran, jika kepimpinan PAS dilihat lebih bersifat dominasi ideologi, PN berisiko mengecil sebagai gabungan sokongan teras Melayu semata-mata, sekali gus mengehadkan daya saingnya dalam Pilihan Raya Umum akan datang. – The Merdeka Times