Connect with us

Terkini

Bahaya nasihat kesihatan oleh ‘Dr’ tidak berdaftar – MMA

Published

on

Foto: Presiden MMA, Thirunavukarasu Rajoo.
  • Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menzahirkan kebimbangan serius terhadap penggunaan gelaran “Dr” oleh graduan perubatan yang belum berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), kerana berpotensi mengelirukan orang awam serta menjejaskan keselamatan pesakit.
  • MMA kekal amat bimbang terhadap sebarang penyalahgunaan gelaran atau kelayakan perubatan yang boleh menjejaskan kepercayaan orang awam atau mengkompromi keselamatan pesakit, terutamanya dalam era media sosial di mana maklumat kesihatan disebarkan secara meluas,” katanya dalam satu kenyataan.

KUALA LUMPUR — Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menzahirkan kebimbangan serius terhadap penggunaan gelaran “Dr” oleh graduan perubatan yang belum berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), kerana berpotensi mengelirukan orang awam serta menjejaskan keselamatan pesakit.

Presiden MMA, Thirunavukarasu Rajoo, berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan terkini MMC berhubung isu tersebut, susulan peningkatan perhatian awam dan kebimbangan yang disuarakan dari dalam serta luar profesion perubatan.

Menurut beliau, walaupun MMA mengiktiraf peranan MMC sebagai badan berkanun yang mengawal selia amalan perubatan di Malaysia, adalah penting untuk isu ini diperjelaskan dari sudut profesionalisme dan etika perubatan bagi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kesihatan negara.

“MMA kekal amat bimbang terhadap sebarang penyalahgunaan gelaran atau kelayakan perubatan yang boleh menjejaskan kepercayaan orang awam atau mengkompromi keselamatan pesakit, terutamanya dalam era media sosial di mana maklumat kesihatan disebarkan secara meluas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa meskipun gelaran akademik “Dr” boleh digunakan oleh individu yang telah menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, ia sama sekali tidak memberi hak untuk mengamalkan perubatan atau membawa maksud bahawa seseorang itu berdaftar dengan MMC.

Mengulas aspek perundangan, Thirunavukarasu berkata Akta Perubatan 1971, khususnya Seksyen 33, menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana individu yang tidak berdaftar atau dikecualikan di bawah akta berkenaan untuk menggunakan gelaran atau perihalan yang boleh mengelirukan orang awam sehingga mempercayai bahawa mereka layak atau diberi kuasa mengamalkan perubatan atau pembedahan.

“Isu sebenar bukan terletak pada gelaran itu sendiri, tetapi pada konteks penggunaannya. Apabila gelaran ‘Dr’ digunakan oleh doktor yang belum berdaftar dalam persekitaran perubatan atau komunikasi berkaitan kesihatan, sama ada secara fizikal atau maya, risiko kekeliruan awam adalah sangat nyata,” katanya.

Sehubungan itu, MMA menggesa orang awam supaya sentiasa menyemak status pendaftaran doktor melalui laman web rasmi MMC dan melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan sekiranya terdapat individu yang memberi nasihat, pandangan atau perkhidmatan penjagaan kesihatan tanpa berdaftar dan berlesen secara sah.

MMA turut menyeru semua pihak termasuk graduan perubatan, pengamal media, pempromosi produk kesihatan serta pencipta kandungan digital agar bertanggungjawab, telus dan beretika dalam menggunakan gelaran profesional, khususnya dalam konteks kesihatan awam.

“MMA akan terus bekerjasama rapat dengan MMC dan semua pihak berkepentingan bagi mempertahankan integriti profesion perubatan serta memastikan keyakinan orang awam terhadap sistem perubatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author