Connect with us

Terkini

Krisis dalaman PN sukar dirawat – ILHAM Centre

Published

on

Foto: Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar.
  • Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar menyifatkan kemelut dalaman PN ketika ini sebagai sukar untuk diluruskan, dengan tahap ketidakpuasan hati antara pihak-pihak terlibat dilihat semakin mendalam dan sukar dirawat.
  • “Kemelut dalaman PN menurut keyakinan saya, sukar untuk diluruskan lagi. Ketidakpuasan hati kedua belah pihak sukar dirawat lagi. Kita akan melihat drama politik dalaman PN akan berlarutan dan memberi cabaran kepada Pengerusi PN untuk menyelesaikannya,” – Hisommudin Bakar

KUALA LUMPUR — Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berpandangan bahawa Perikatan Nasional (PN) berdepan risiko melemah secara beransur-ansur susulan kemelut dalaman yang semakin meruncing, khususnya melibatkan hubungan antara PAS dan BERSATU.

Menurut beliau, sekiranya PAS benar-benar berhasrat untuk mengetuai PN, langkah itu disifatkan sebagai berisiko tinggi, memandangkan imej parti Islam itu masih berdepan cabaran untuk menarik sokongan baharu dan memberi nilai tambah politik kepada gabungan berkenaan.

“Imej PAS sebenarnya masih bermasalah untuk menarik sokongan dan nilai tambah baharu kepada PN,” katanya dalam satu kenyataan yang mengulas perkembangan terkini landskap politik pembangkang.

Hisommudin turut merujuk kepada krisis politik di Perlis serta keputusan terbaharu PAS yang menurutnya berpotensi menjejaskan hubungan dengan BERSATU.

Beliau berpendapat, jika perbezaan dan ketegangan dalaman gagal diurus dengan baik, PN berisiko menemui noktah kerjasama antara dua parti Melayu-Islam itu.

Mengulas soal kepimpinan, beliau berkata masih terlalu awal untuk meramal siapa yang layak menerajui PN selepas pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara kemungkinan yang disebut termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, atau tokoh pelapis yang sering dilihat sebagai pemimpin masa depan PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa pengunduran Muhyiddin akan membuka ruang kepada rombakan menyeluruh kepimpinan PN, termasuk penyusunan semula jawatan dan strategi oleh pengerusi baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

“Set kepimpinan baharu akan disusun sesuai dengan pembawaan dan strategi pasukan yang akan berdepan PRU nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Hisommudin menyifatkan kemelut dalaman PN ketika ini sebagai sukar untuk diluruskan, dengan tahap ketidakpuasan hati antara pihak-pihak terlibat dilihat semakin mendalam dan sukar dirawat.

Beliau menjangkakan drama politik dalaman PN akan terus berlarutan dan menjadi cabaran besar kepada kepimpinan tertinggi gabungan itu. Sekiranya gagal diurus dengan berkesan, katanya, semua krisis dan insiden tersebut berpotensi menatijahkan perpecahan dalam PN.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author