Connect with us

Terkini

“Bangladesh perlu diajar seperti Israel lakukan pada Gaza” – Pemimpin BJP

Published

on

Foto: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Bengal Barat, Suvendu Adhikari.
  • “Golongan ini perlu diberi satu pengajaran, seperti Israel mengajar Gaza. Kerajaan yang memperjuangkan kepentingan penganut Hindu mesti bertindak sebagaimana kita bertindak terhadap Pakistan dalam Operasi Sindoor,” Pemimpin Bharatiya Janata Party (BJP). Suvendu Adhikari
  • Adhikari turut mengugut akan kembali bersama ratusan ribu penganut Hindu sempena perayaan Gangasagar Mela bagi menekan misi diplomatik tersebut.
  • Protes itu tercetus susulan peningkatan keganasan di Bangladesh sejak 18 Disember lalu, termasuk rusuhan, pembakaran dan serangan terhadap komuniti minoriti.

KOLKATA – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Bengal Barat, Suvendu Adhikari, mencetuskan kontroversi besar selepas menyatakan bahawa Bangladesh perlu “diajar seperti yang Israel lakukan di Gaza”, susulan keganasan terhadap golongan tersebut di negara itu.

Pemimpin Bharatiya Janata Party (BJP) itu membuat kenyataan berkenaan ketika mengetuai satu protes di luar Pejabat Timbalan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kolkata pada Jumaat, sambil mengecam insiden keganasan yang didakwa menyasarkan komuniti minoriti, khususnya penganut Hindu, di Bangladesh.

“Golongan ini perlu diberi satu pengajaran, seperti Israel mengajar Gaza. Kerajaan yang memperjuangkan kepentingan penganut Hindu mesti bertindak sebagaimana kita bertindak terhadap Pakistan dalam Operasi Sindoor,” katanya kepada pemberita.

Kenyataan tersebut menerima kecaman keras daripada All India Trinamool Congress (AITC) yang menuduh BJP menjadikan kebencian dan sikap tidak bertoleransi sebagai budaya politik.

Parti itu menyifatkan kenyataan Adhikari sebagai “ucapan kebencian terang-terangan” dan satu seruan kepada pembersihan etnik, sambil mempersoalkan mengapa tiada tindakan undang-undang diambil terhadap beliau.

Pada hari sama, Adhikari mengetuai delegasi lima anggota bertemu pegawai kanan misi diplomatik Bangladesh.

Selepas pertemuan itu, beliau mendakwa pihak diplomatik gagal memberikan jawapan memuaskan berhubung jaminan keselamatan penganut Hindu di Bangladesh.

Beliau turut membangkitkan isu perlindungan terhadap pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, sambil mendakwa wujud layanan berbeza terhadap minoriti Hindu di Bangladesh.

Adhikari memberi amaran bahawa komuniti Hindu di India tidak akan berdiam diri sekiranya penganut Hindu di Bangladesh terus disasarkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Adhikari mengkritik kerajaan Bengal Barat pimpinan Mamata Banerjee berhubung tindakan polis terhadap penunjuk perasaan awal minggu itu, termasuk penggunaan kekerasan dan penahanan 19 individu yang melanggar sekatan keselamatan.

Keadaan keselamatan di sekitar pejabat diplomatik Bangladesh dikawal ketat dengan kehadiran polis berskala besar dan pemasangan penghadang logam.

Adhikari turut mengugut akan kembali bersama ratusan ribu penganut Hindu sempena perayaan Gangasagar Mela bagi menekan misi diplomatik tersebut.

Protes itu tercetus susulan peningkatan keganasan di Bangladesh sejak 18 Disember lalu, termasuk rusuhan, pembakaran dan serangan terhadap komuniti minoriti.

Antara insiden yang mencetuskan kemarahan awam ialah pembunuhan Dipu Chandra Das di daerah Mymensingh serta kematian Amrit Mondal di Rajbari, yang terus mencetuskan ketegangan politik dan kebimbangan keselamatan di rantau tersebut.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author