Connect with us

Terkini

(VIDEO) Ketegangan agama memuncak: Hiasan krismas dimusnahkan di India

Published

on

Foto: Tangkap layar klip video tersebut.
  • Sekumpulan perusuh bersenjatakan kayu menceroboh Magneto Mall di ibu negeri Chhattisgarh, Raipur, pada Rabu lalu dan memusnahkan hiasan Krismas yang dipasang di pusat beli-belah berkenaan.
  • Mereka menjerit tidak mahu melihat Santa Claus. Orang ramai yang datang menonton wayang menjadi panik dan cuba melarikan diri,” – Pengunjung

RAIPUR — Sekumpulan perusuh bersenjatakan kayu menceroboh Magneto Mall di ibu negeri Chhattisgarh, Raipur, pada Rabu lalu dan memusnahkan hiasan Krismas yang dipasang di pusat beli-belah berkenaan.

Insiden itu berlaku pada hari sama seruan ‘Chhattisgarh bandh’ dilancarkan bagi membantah dakwaan penukaran agama secara haram.

Rakaman dan keterangan saksi menunjukkan kumpulan berkenaan bertindak ganas walaupun pengawal keselamatan cuba menghalang mereka daripada merosakkan hiasan Krismas.

Seorang kakitangan pusat beli-belah itu, yang enggan dikenali, berkata kira-kira 80 hingga 90 individu menyerbu masuk secara tiba-tiba.

“Sejak 16 tahun kami beroperasi di sini, kami sentiasa menyokong seruan bandh. Tetapi saya tidak pernah melihat tingkah laku seperti ini. Mereka mengugut kami, menjerit dan bertindak ganas,” katanya.

Seorang lagi pekerja memaklumkan suasana menjadi cemas apabila sebahagian pengunjung, termasuk wanita dan kanak-kanak, menangis ketakutan.

“Mereka menjerit tidak mahu melihat Santa Claus. Orang ramai yang datang menonton wayang menjadi panik dan cuba melarikan diri,” katanya.

Seruan ‘Chhattisgarh bandh’ sehari itu dibuat oleh Sarva Hindu Samaj susulan dakwaan berlakunya penukaran agama secara tidak sah.

Bandh tersebut dicetuskan oleh ketegangan antara dua komuniti di daerah Kanker, wilayah Bastar, berkaitan isu pengebumian mengikut ritual Kristian.

Walaupun seruan mogok itu menerima reaksi bercampur di seluruh negeri, beberapa kawasan menyaksikan kejadian keganasan. Di kawasan bandar, banyak kedai dan premis perniagaan ditutup, manakala kesannya lebih terhad di kawasan luar bandar.

Pada 18 Disember lalu, lebih 20 anggota polis dilaporkan cedera dalam insiden keganasan di kampung Badetevda, daerah Kanker, susulan pertikaian antara dua komuniti mengenai pengebumian seorang lelaki.

Pertikaian itu bermula pada 16 Disember apabila Rajman Salam, ketua kampung Badetevda, mengebumikan bapanya di tanah persendirian mengikut upacara Kristian.

Situasi tersebut kemudiannya mencetuskan tindakan perusuh yang merosakkan sebuah dewan dan membakar beberapa barangan di dalamnya.

Mayat berkenaan akhirnya digali semula mengikut prosedur undang-undang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan yang dibenarkan. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author