Terkini
PAS sokong hidupkan semula Muafakat Nasional
- Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), sambil menyifatkannya sebagai kunci utama kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah.
- “Hidupkan kembali rundingan, tubuh JK Perunding. Sebaik sahaja UMNO/BN isytihar keluar dari gabungan bersama PH, kita lancarkan terus Muafakat Nasional,” – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), sambil menyifatkannya sebagai kunci utama kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memuji cadangan yang dikemukakan Ketua Pemuda UMNO dan menyatakan persetujuan agar rundingan antara parti-parti Melayu-Islam kembali diaktifkan.

“Saya sangat setuju dengan cadangan hidupkan semula Muafakat Nasional ini. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula Perpaduan Ummah. Tahniah Ketua Pemuda UMNO,” katanya.
Ahmad Fadhli turut menggesa agar rundingan rasmi dihidupkan semula dengan penubuhan Jawatankuasa Perunding sebagai langkah awal memperkukuh kerjasama politik tersebut.
Menurut beliau, sebaik sahaja UMNO atau Barisan Nasional (BN) mengisytiharkan keluar daripada gabungan bersama Pakatan Harapan (PH), pelancaran semula Muafakat Nasional wajar dilakukan tanpa berlengah.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi kepada cadangan Ketua Pemuda UMNO merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mengesyorkan agar Muafakat Nasional dihidupkan semula selepas kerjasama itu terhenti sebelum ini.
Dr Muhamad Akmal sebelum ini mencadangkan agar kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan digantikan dengan MN, susulan perkembangan politik di Perlis.
Situasi tersebut timbul selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilaporkan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana kerana hilang kepercayaan terhadap pimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli daripada PAS, yang berpotensi mencetuskan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi.
“Alang-alang bubar sekalilah Perikatan Nasional, kita wujudkan semula Muafakat Nasional. Macam mana?” soal Dr Muhamad Akmal dalam satu hantaran di Facebooknya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejak awal lagi terdapat peringatan supaya Muafakat Nasional diperkukuh sebagai platform penyatuan politik Melayu-Islam, namun ia tidak diberikan perhatian sewajarnya. -The Merdeka Times