Terkini
‘Kampung tradisi Melayu’ satu tipu helah – Datuk Dr Murad Merican
- “Idea kampung tradisi Melayu adalah satu tipu helah. Semua kampung Melayu di Malaysia adalah tapak tradisi. Tidak perlu isytihar apa yang sememangnya pribumi,” – Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual ISTAC, UIAM,Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
- Prof Datuk Dr Ahmad Murad berpandangan, pendekatan sedemikian mencerminkan satu bentuk penjenayahan budaya secara halus(cultural genocide) melalui proses yang disifatkannya sebagai cultural sanitising atau “pembersihan budaya”.
KUALA LUMPUR — Idea melabelkan sesuatu kawasan sebagai “kampung tradisi Melayu” disifatkan sebagai satu tipu helah yang mengelirukan serta berpotensi menghakis kefahaman sebenar terhadap kedudukan pribumi Melayu di negara ini, tegas Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
Menurut beliau, semua kampung Melayu di Malaysia pada hakikatnya adalah tapak tradisi, justeru tidak wajar diwujudkan pengisytiharan khas yang seolah-olah membezakan satu kampung Melayu dengan kampung Melayu yang lain.
“Idea kampung tradisi Melayu adalah satu tipu helah. Semua kampung Melayu di Malaysia adalah tapak tradisi. Tidak perlu isytihar apa yang sememangnya pribumi,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Prof Datuk Dr Ahmad Murad berpandangan, pendekatan sedemikian mencerminkan satu bentuk penjenayahan budaya secara halus(cultural genocide) melalui proses yang disifatkannya sebagai cultural sanitising atau “pembersihan budaya”.
Dalam konteks ini, beliau memberi amaran bahawa konsep pemuliharaan yang ditampilkan bukanlah usaha sebenar memelihara warisan, sebaliknya satu “pseudo conservation” atau pemuliharaan palsu yang berpotensi memisahkan orang Melayu daripada akar budaya dan ruang hidup tradisi mereka sendiri.
“Bolehkah saya guna istilah penjenayahan budaya melalui pembersihan budaya? Inilah yang sedang berlaku. Pseudo conservation,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan komitmennya untuk memastikan kampung-kampung tradisi orang Melayu di Wilayah Persekutuan terus dipelihara dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan pesat bandar.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh sebelum itu turut dilapor konsisten memperjuangkan agar Kampung Sungai Penchala diiktiraf sebagai kampung warisan Melayu.-The Merdeka Times