Connect with us

Terkini

GST terbukti berkesan, Retorik politik kelirukan rakyat – Tan Sri Azlan

Published

on

Foto: Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
  • Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata Malaysia perlu melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya negara mahu bergerak pantas ke arah status negara maju.
  • Mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, yang menyifatkan GST sebagai “mimpi ngeri”, Noor Azlan berpandangan bahawa retorik sedemikian tidak membantu perbincangan dasar yang rasional.
  • “Jadi kalau YB Lim Guan Eng kata mimpi ngeri itu, saya rasa dia mungkin tak basuh kaki kot. Kalau orang Islam, orang Melayu ini dia kata kalau tak basuh kaki, memanglah selalu mimpi ngeri. So, perbetulkanlah. YB, untuk negara kita, marilah kita bersetuju bersama-sama. Sudahlah dengan lawangan-lawangan politik yang secara ekonominya tak masuk akal,” katanya.

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya negara mahu bergerak pantas ke arah status negara maju, kata Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Menurut beliau, berdasarkan ukuran Bank Dunia, Malaysia kini berada dalam lingkungan 15 hingga 18 peratus ke arah mencapai status negara maju, namun masih ketinggalan dari segi struktur percukaian berbanding kebanyakan negara lain di dunia.

“Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang masih tidak mengamalkan GST. Hakikatnya, GST penting untuk memastikan negara kita terus bergerak maju,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau menjelaskan bahawa isu percukaian, khususnya GST, sering disalah tafsir dan “ditawan” oleh naratif politik yang menggambarkan cukai sebagai satu bentuk rompakan oleh kerajaan, sedangkan hakikatnya kutipan cukai merupakan asas utama pembangunan negara.

Mengulas data kutipan cukai, Noor Azlan berkata Malaysia tergolong antara negara dengan kadar kutipan cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sangat rendah. Pada 2021, Malaysia hanya mengutip sekitar 11.2 peratus, menjadikannya antara enam terendah di rantau Asia Pasifik.

“Purata Asia Pasifik ialah sekitar 19.8 peratus, manakala negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mencatat purata 34.2 peratus. Ini bermakna jika dibandingkan dengan negara OECD, Malaysia berada pada tahap yang jauh lebih rendah,” katanya.

Beliau menambah, malah negara-negara Amerika Latin mencatat purata kutipan cukai sekitar 21.7 peratus, manakala beberapa negara di Afrika yang berdepan kemiskinan juga mempunyai kadar kutipan cukai yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

Menurut Noor Azlan, realiti ini membuktikan bahawa kutipan cukai bukan sekadar soal beban rakyat, sebaliknya merupakan prasyarat penting untuk membiayai pembangunan dan perkhidmatan awam seperti infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

“Kalau kita mahu bercakap tentang pendidikan percuma atau perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh, dari mana dana itu hendak diperoleh? Negara-negara OECD yang menyediakan pendidikan dan kesihatan percuma mengenakan kadar cukai yang tinggi, ada yang melebihi 25 hingga 30 peratus,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh berangan-angan untuk menyediakan perkhidmatan awam bertaraf tinggi jika pada masa sama enggan meningkatkan asas percukaian negara.

Mengulas kritikan terhadap pelaksanaan GST sebelum ini, Noor Azlan menekankan bahawa masalah utama bukan terletak pada sistem GST itu sendiri, sebaliknya pada kecekapan pelaksanaan, khususnya isu bayaran balik.

“Isu bayaran balik adalah soal kecekapan sistem dan tadbir urus. Sebab itu kita memerlukan transformasi dalam perkhidmatan awam. Ia bukan salah GST, tetapi cara pelaksanaannya yang perlu diperkemaskan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar ruang diberikan kepada ahli ekonomi untuk menerangkan secara objektif kelebihan GST sebagai sistem percukaian yang sesuai bagi negara yang sedang menuju ke arah berpendapatan tinggi.

Mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, yang menyifatkan GST sebagai “mimpi ngeri”, Noor Azlan berpandangan bahawa retorik sedemikian tidak membantu perbincangan dasar yang rasional.

“Jadi kalau YB Lim Guan Eng kata mimpi ngeri itu, saya rasa dia mungkin tak basuh kaki kot. Kalau orang Islam, orang Melayu ini dia kata kalau tak basuh kaki, memanglah selalu mimpi ngeri.

“So, perbetulkanlah. YB, untuk negara kita, marilah kita bersetuju bersama-sama. Sudahlah dengan lawangan-lawangan politik yang secara ekonominya tak masuk akal,” katanya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author