Terkini
Penutupan UNHCR berisiko jejaskan imej Malaysia – Pakar
- Pakar undang-undang antarabangsa dari UIAM, Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Zul Kepli berkata, langkah tersebut boleh mengundang kritikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain mengganggu kerjasama antarabangsa berkaitan bantuan kemanusiaan.
- “Malah ia juga dilihat boleh mengundang kritikan NGO dan agensi PBB, serta boleh mengganggu kerjasama bantuan seperti penempatan semula, perlindungan dan pemantauan,” katanya.
- Beliau menegaskan, sebarang keputusan berkaitan UNHCR perlu dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira implikasi undang-undang, kemanusiaan dan hubungan antarabangsa Malaysia.
KUALA LUMPUR – Cadangan menutup operasi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia berisiko menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa, khususnya dalam isu kemanusiaan dan perlindungan pelarian.
Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Zul Kepli berkata, langkah tersebut boleh mengundang kritikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain mengganggu kerjasama antarabangsa berkaitan bantuan kemanusiaan.
“Penutupan UNHCR berisiko menjejaskan reputasi Malaysia dalam isu kemanusiaan.
“Malah ia juga dilihat boleh mengundang kritikan NGO dan agensi PBB, serta boleh mengganggu kerjasama bantuan seperti penempatan semula, perlindungan dan pemantauan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Mohd Yazid, berpandangan bahawa peranan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) masih belum mencukupi jika hanya terhad kepada aspek pendaftaran semata-mata, sebaliknya penubuhan satu mekanisme nasional yang benar-benar mampu menggantikan UNHCR.
“Pada pendapat saya, ia belum memadai jika DPP hanya terhad kepada ‘pendaftaran’.
“Untuk benar-benar menggantikan UNHCR, perlu ada status undang-undang yang jelas, proses Penentuan Status Pelarian (RSD), akses kepada perlindungan asas, mekanisme rayuan serta pemantauan bebas.
“Perlunya mempunyai strategi yang kemas dahulu, termasuk ‘blueprint’ yang menyeluruh,” tegasnya.
Menurut beliau, pendekatan yang lebih seimbang perlu dipertimbangkan bagi menjaga kedaulatan negara tanpa mengabaikan hak pelarian.
“Alternatif selain menutup UNHCR adalah mewujudkan mekanisme nasional melalui akta atau peraturan khusus pelarian, pusat sehenti kerajaan dengan SOP keselamatan, MoU serta audit operasi UNHCR, dan memperkukuh kerjasama serantau ASEAN untuk saringan serta pemindahan.
“Kerajaan perlu rangka atau membuat dahulu polisi yang komprehensif,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa penutupan UNHCR secara automatik akan mengurangkan jumlah pelarian atau pendatang yang cuba menetap di negara ini.
“Tidak semestinya. Malah mungkin jadi lebih teruk. Faktor penolak dan penarik seperti konflik, rangkaian pekerjaan dan penyeludupan manusia masih wujud.
“Penutupan UNHCR lebih cenderung meningkatkan ketidakteraturan dan jumlah individu tanpa dokumen, bukannya mengurangkan kemasukan,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menegaskan, sebarang keputusan berkaitan UNHCR perlu dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira implikasi undang-undang, kemanusiaan dan hubungan antarabangsa Malaysia.-The Merdeka Times