Terkini
Bekas PM Australia kecam Netanyahu: Usah campur tangan politik Canberra
- Ketika mengulas kenyataan itu dalam wawancara bersama Channel 4 News di United Kingdom, Turnbull berkata beliau dengan tegas menolak campur tangan Netanyahu dalam hal ehwal dalaman Australia.
- “Saya dengan penuh hormat ingin berkata kepada ‘Bibi’ Netanyahu, tolonglah kekal di luar politik kami. Jika anda mahu membuat komentar seperti itu, ia tidak membantu … dan ia tidak wajar,” kata Turnbull.
LONDON — Bekas Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, menegur keras Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan meminta beliau supaya “tidak mencampuri politik Australia”, susulan kenyataan Netanyahu yang mengaitkan pengiktirafan negara Palestin oleh Australia dengan insiden tembakan maut di Bondi Beach.
Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh apabila seorang bapa dan anak lelakinya melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang meraikan perayaan Yahudi Hanukkah di Bondi Beach pada malam Ahad.
Netanyahu mendakwa keputusan Australia mengiktiraf negara Palestin awal tahun ini telah menyiram “minyak ke api antisemitisme” dalam tempoh beberapa minggu sebelum serangan tersebut berlaku.
Ketika mengulas kenyataan itu dalam wawancara bersama Channel 4 News di United Kingdom, Turnbull berkata beliau dengan tegas menolak campur tangan Netanyahu dalam hal ehwal dalaman Australia.
“Saya dengan penuh hormat ingin berkata kepada ‘Bibi’ Netanyahu, tolonglah kekal di luar politik kami.
“Jika anda mahu membuat komentar seperti itu, ia tidak membantu … dan ia tidak wajar,” kata Turnbull.
Turnbull mempertahankan pendirian kerajaan Perdana Menteri Australia ketika ini, Anthony Albanese, yang mengiktiraf kenegaraan Palestin pada Ogos lalu bersama beberapa negara Barat lain, susulan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap perang di Gaza.
Dalam ucapan selepas serangan Bondi, Netanyahu berkata beliau telah menulis kepada perdana menteri Australia beberapa bulan sebelum itu dengan mendakwa dasar Canberra “menuangkan minyak ke atas api antisemitisme”.
Beliau turut menyatakan bahawa “antisemitisme adalah barah yang merebak apabila pemimpin berdiam diri”.
Turnbull bagaimanapun menegaskan bahawa majoriti besar negara di dunia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel–Palestin.
Menurut beliau, Australia merupakan sebuah masyarakat majmuk yang berjaya dan tidak boleh membenarkan konflik luar dibawa masuk ke dalam negara.
“Kita perlu memastikan bahawa peperangan di Timur Tengah atau di mana-mana bahagian dunia tidak dilangsungkan di sini.
“Mengaitkan konflik tersebut dengan keadaan di Australia, seperti yang dilakukan Netanyahu, adalah tidak membantu dan bertentangan dengan apa yang kita ingin capai,” katanya.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, turut menolak kenyataan Netanyahu apabila ditanya sama ada terdapat kaitan antara pendekatan kerajaan beliau terhadap Palestin dan serangan di Bondi Beach.
“Sebahagian besar dunia mengiktiraf penyelesaian dua negara sebagai jalan ke hadapan di Timur Tengah.
“Ini adalah saat untuk perpaduan nasional, di mana kita perlu bersatu … dan memeluk komuniti Yahudi yang sedang melalui tempoh yang amat sukar,” katanya kepada media.
Albanese turut melawat seorang lelaki muslim yang disifatkan sebagai wira kerana berjaya melucutkan senjata salah seorang penyerang, yang kini dirawat di hospital.
Lelaki tersebut, Ahmed Al-Ahmed, seorang peniaga yang berhijrah ke Australia dari Syria pada tahun 2006, sedang pulih selepas bertindak menahan penyerang.
Dalam perkembangan berkaitan, Albanese memaklumkan bahawa pihak berkuasa mendapati penyerang, Sajid Akram dan anak lelakinya, Naveed, dipengaruhi oleh ideologi kumpulan pengganas Daesh.-The Merdeka Times