Antarabangsa
ICC tolak rayuan Israel minta waran tangkap Netanyahu dibatalkan
- Israel telah mengemukakan pelbagai rayuan untuk mencabar sahnya waran-waran itu, termasuk usaha untuk mendiskualifikasi pendakwa raya utama mahkamah, Karim Khan, atas dakwaan tidak bersikap adil dan cabaran terhadap bidang kuasa mahkamah di Palestin.
- Siasatan ICC terhadap jenayah perang yang dilakukan di Palestin dimulakan pada tahun 2021, berdasarkan rujukan dibuat negara Palestin pada tahun 2018.
- Namun, sejak November 2023, tujuh rujukan lain telah dikemukakan Afrika Selatan, Bangladesh, Comoros, Bolivia, Djibouti, Chile dan Mexico.
Dewan rayuan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak hujah Israel yang mendakwa siasatan terhadap jenayah di Gaza selepas 7 Oktober 2023 adalah tidak sah.
Keputusan ini adalah perkembangan penting dalam siasatan mengenai Palestin, yang membawa kepada waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan, Yoav Gallant pada bulan November tahun lepas.
Menurut Mideast Eye, Israel telah mengemukakan pelbagai rayuan untuk mencabar sahnya waran-waran tersebut, termasuk usaha untuk mendiskualifikasi pendakwa raya utama mahkamah, Karim Khan, atas dakwaan tidak bersikap adil dan cabaran terhadap bidang kuasa mahkamah di Palestin.
Siasatan ICC terhadap jenayah perang yang dilakukan di Palestin yang diduduki dimulakan pada tahun 2021, berdasarkan rujukan oleh negara Palestin pada tahun 2018.
Namun, sejak November 2023, tujuh rujukan lain telah dikemukakan oleh Afrika Selatan, Bangladesh, Comoros, Bolivia, Djibouti, Chile dan Mexico.
Dalam rayuannya, Israel berhujah bahawa pendakwa raya sepatutnya memaklumkan kepadanya mengenai siasatan baharu selepas rujukan baharu oleh tujuh negara tersebut, selaras dengan Artikel 18(1) Statut Rom yang menghendaki pendakwa raya memaklumkan secara rasmi kepada mana-mana negara yang terlibat apabila satu siasatan dibuka.
Notis ini menerangkan apa yang akan disiasat dan memberi peluang kepada negara untuk berhujah bahawa negara tersebut sudahpun menyiasat perkara yang sama, satu prinsip yang direka untuk mengelakkan penduplikasian.
Pendakwa raya telah melakukan ini pada tahun 2021, tetapi Israel tidak memberi respons terhadap notis tersebut. Sebaliknya, Israel berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa undang-undang langsung ke atas situasi ini.
Setelah pendakwa raya kemudiannya memohon dan memperoleh waran tangkap untuk Netanyahu dan Gallant, Israel mengubah pendiriannya.
Ia mendakwa bahawa kejadian selepas serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel adalah situasi yang sama sekali baru, yang bermakna mahkamah sepatutnya mengeluarkan notifikasi baharu sebelum meneruskan tindakan lanjut.
Hakim rayuan ICC menolak hujah tersebut. Mereka memutuskan bahawa siasatan terhadap kejadian selepas 7 Oktober adalah diliputi oleh notis asal 2021, jadi tiada notifikasi baharu diperlukan.
Siasatan ICC terhadap dakwaan jenayah perang Israel telah menyebabkan sekatan AS ke atas pendakwa raya utama mahkamah, dua timbalan pendakwa raya, dan hakim-hakim yang mengeluarkan waran tangkap pada November. – The Merdeka Times