Antarabangsa
Wira muslim lumpuhkan penyerang Bondi Beach, selamatkan nyawa Yahudi
- Individu berkenaan dikenal pasti sebagai Ahmed al-Ahmed, 43, seorang peniaga kedai buah dari kawasan Sutherland Shire, Sydney.
- Sepupunya, Mustafa, ketika ditemui media Australia di luar hospital, berkata Ahmed langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikan senjata api dan hanya berada di Bondi Beach sebagai pengunjung ketika serangan itu berlaku.
- Perdana Menteri Negeri New South Wales, Chris Minns, turut memuji keberanian Ahmed, menyifatkannya sebagai seorang wira sebenar.
SYDNEY – Seorang muslim yang merupakan pemilik kedai buah dipuji sebagai wira selepas bertindak berani menumpaskan dan melucutkan senjata salah seorang penyerang bersenjata dalam insiden tembakan di Bondi Beach, Australia, sekali gus menyelamatkan banyak nyawa.
Individu berkenaan dikenal pasti sebagai Ahmed al-Ahmed, 43, seorang peniaga kedai buah dari kawasan Sutherland Shire, Sydney.
Beliau kini sedang menerima rawatan di hospital selepas ditembak dua kali ketika cubaan menyekat serangan tersebut.
Rakaman video yang tular menunjukkan Ahmed, yang memakai kemeja-T putih, menyerbu penyerang dari arah belakang, bergelut dan berjaya merampas sepucuk senapang sebelum menghalakan senjata itu ke arah penyerang, yang kemudiannya berundur ke arah sebuah jambatan di mana seorang lagi penyerang berada.
Selepas itu, Ahmed meletakkan senapang tersebut di sisi sebatang pokok dan mengangkat kedua-dua tangannya, dipercayai sebagai isyarat kepada pihak polis bahawa beliau bukan ancaman.
Bagaimanapun, ketika pergelutan berlaku, Ahmed ditembak oleh penyerang kedua, masing-masing di bahagian lengan dan tangan. Beliau menjalani pembedahan pada malam Ahad dan dilaporkan sedang dalam proses pemulihan.
Sepupunya, Mustafa, ketika ditemui media Australia di luar hospital, berkata Ahmed langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikan senjata api dan hanya berada di Bondi Beach sebagai pengunjung ketika serangan itu berlaku.
“Kami harap dia akan baik-baik sahaja. Dia seorang wira, seratus peratus,” kata Mustafa.
Perdana Menteri Negeri New South Wales, Chris Minns, turut memuji keberanian Ahmed, menyifatkannya sebagai seorang wira sebenar.
“Terdapat ramai, sangat ramai orang yang masih hidup malam ini hasil keberaniannya,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut memuji tindakan Ahmed dalam satu mesyuarat kerajaan di Dimona pada Ahad.
“Kita menyaksikan tindakan seorang lelaki yang berani, rupa-rupanya seorang Muslim yang berani, dan saya memberi tabik hormat kepadanya yang telah menghalang salah seorang pengganas ini daripada membunuh orang Yahudi yang tidak bersalah,” katanya.
Dalam masa sama, Netanyahu mengkritik Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dengan mendakwa beliau sebelum ini telah memberi amaran bahawa dasar-dasar Australia menyemarakkan antisemitisme.
Insiden serangan itu dilaporkan berlaku sekitar 6.45 petang waktu tempatan di Bondi Beach ketika satu sambutan Hanukkah yang dihadiri kira-kira 1,000 orang sedang berlangsung.
Pihak polis mengesahkan dua penyerang terlibat, masing-masing seorang bapa berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 24 tahun.
Penyerang berusia 50 tahun maut ditembak polis di lokasi kejadian, manakala anaknya kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Pihak berkuasa sebelum ini menyiasat kemungkinan penglibatan individu ketiga, namun mengesahkan mereka tidak lagi mencari suspek tambahan.-The Merdeka Times