Terkini
Review palsu haram, boleh jadi dosa besar – Rektor UniSIRAJ
- “Memberi penyaksian palsu ataupun kata-kata palsu merupakan salah satu dosa besar dalam agama. Nampak kecil, namun impaknya besar,” – Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin
- Prof. Dr. Rozaimi merujuk kepada satu insiden terkini di media sosial melibatkan pemberian rating satu bintang terhadap restoran milik pempengaruh, Khairul Aming, walaupun restoran tersebut belum memulakan operasi.
- Menurut beliau, tindakan itu jelas menunjukkan pemberi rating berkenaan belum menerima sebarang perkhidmatan, namun tetap memberikan penilaian negatif, sekali gus tergolong dalam perbuatan review palsu.
KUALA LUMPUR – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle menegaskan bahawa perbuatan memberikan ulasan atau review palsu terhadap produk dan perkhidmatan adalah haram dari sudut agama dan termasuk dalam kategori dosa besar.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menjelaskan bahawa pada asasnya, pengguna bebas memberikan ulasan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan, termasuk makanan dan servis, bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat awal tentang peniaga atau penyedia perkhidmatan.
Namun, menurut beliau, timbul masalah apabila terdapat individu yang memberikan review palsu, termasuk memberi ulasan terhadap produk atau perkhidmatan yang mereka sendiri tidak pernah alami atau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
“Contohnya review dibuat sedangkan dia tidak pernah pergi ke kedai tersebut, tetapi memberikan satu atau dua bintang sahaja dalam review di Google,” jelasnya.
Beliau turut menyentuh fenomena di media sosial apabila terdapat pihak yang menggerakkan boikot terhadap kedai tertentu susulan tingkah laku pemilik atau perbezaan pandangan politik, lalu mendorong orang ramai memberikan review palsu secara beramai-ramai di platform seperti Google.
Dalam hantaran sama, Prof. Dr. Rozaimi turut merujuk kepada satu insiden terkini di media sosial melibatkan pemberian rating satu bintang terhadap restoran milik pempengaruh, Khairul Aming, walaupun restoran tersebut belum memulakan operasi.
Menurut beliau, tindakan itu jelas menunjukkan pemberi rating berkenaan belum menerima sebarang perkhidmatan, namun tetap memberikan penilaian negatif, sekali gus tergolong dalam perbuatan review palsu.
Menegaskan kedudukan hukum perbuatan tersebut, beliau berkata memberikan penyaksian atau kata-kata palsu adalah haram dan termasuk dalam dosa besar dalam Islam.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW ketika menerangkan tentang dosa-dosa besar kepada para sahabat, antaranya sabda baginda mengenai “penyaksian palsu atau perkataan palsu (dusta)”.
“Memberi penyaksian palsu ataupun kata-kata palsu merupakan salah satu dosa besar dalam agama. Nampak kecil, namun impaknya besar,” katanya.
Sehubungan itu, Prof. Dr. Rozaimi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam memberikan ulasan, serta tidak menzalimi peniaga atau mana-mana pihak melalui penilaian palsu yang boleh memberi kesan buruk terhadap reputasi dan sumber rezeki seseorang.-The Merdeka Times