Terkini
Menteri Dalam Negeri minta Mufti Perlis serah bukti dakwaan Gerakan Kultus Korea
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara tersebut diambil bagi memudahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.
- “Pihak yang menyebut bahawa ada kes seumpama itu mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, iaitu polis,” katanya
KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyerahkan sebarang bukti atau maklumat berhubung dakwaan beliau kewujudan gerakan kultus dari Korea yang menggunakan nama ‘Jesus’ yang sedang aktif di negara.
Saifuddin berkata perkara tersebut diambil bagi memudahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.
“Tentunya kalau beliau mempunyai maklumat seperti yang disebut, lebih baik beliau tampil supaya kita boleh menguruskannya mengikut jalur hukum.
“Pihak yang menyebut bahawa ada kes seumpama itu mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, iaitu polis,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Beliau mengulas laporan media memetik Mohd. Asri yang mendedahkan kewujudan satu gerakan kultus dari Korea yang membawa dakwaan janggal serta menyimpang, dan didakwa sedang aktif bergerak di Malaysia.
Baru-baru ini, Mufti Perlis tersebut memberitahu satu taklimat telah disampaikan tentang Gerakan Kultus yang menggunakan nama sebagai Jesus dengan pelbagai dakwaan yang sangat janggal dan menyimpang.
Menurutnya, ia berasal dari negara Korea, dan gerakan tersebut aktif di Malaysia atas nama keamanan dan keharmonian tapi berorientasi ajaran menyimpang mereka.
Beliau turut mempersoalkan penglibatan ahli Parlimen muslim dan orang penting Parlimen negara ini, kelihatan aktif dalam menyertai dan membantu gerakan tersebut. – The Merdeka Times