Terkini
Kod pakaian akan dikecualikan di perkhidmatan barisan hadapan, termasuk Balai Polis
- Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat kabinet hari ini meneliti semula pelaksanaan pekeliling tersebut dan berpendapat bahawa beberapa pindaan perlu dilakukan bagi memastikan orang awam tidak dihalang daripada mendapatkan perkhidmatan penting.
- “Baru-baru ini, timbul isu seorang individu tak dibenarkan masuk untuk buat laporan polis kerana isu pakaian. Jadi KSN akan meneliti semula pekeliling dan buat beberapa penambahbaikan,” katanya pada sidang media di Parlimen.
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk mengecualikan perkhidmatan barisan hadapan daripada pematuhan ketat kod pakaian yang digariskan dalam Pekeliling 2020, susulan insiden terbaharu membabitkan seorang wanita yang dihalang daripada membuat laporan polis kerana pemakaiannya.
Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat kabinet hari ini meneliti semula pelaksanaan pekeliling tersebut dan berpendapat bahawa beberapa pindaan perlu dilakukan bagi memastikan orang awam tidak dihalang daripada mendapatkan perkhidmatan penting.
“Baru-baru ini, timbul isu seorang individu tak dibenarkan masuk untuk buat laporan polis kerana isu pakaian. Jadi KSN akan meneliti semula pekeliling dan buat beberapa penambahbaikan,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Menurut Fahmi, Kabinet bersetuju perkhidmatan barisan hadapan terutamanya yang berkaitan keselamatan dan kesihatan awam perlu dikecualikan daripada garis panduan kod pakaian sedia ada.
“Ini termasuk balai polis,” tegasnya, sambil memaklumkan bahawa pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan meneliti cadangan itu secara terperinci sebelum mengeluarkan pekeliling yang dikemas kini.
Fahmi turut menjelaskan bahawa kerajaan menjangka kenyataan serta arahan baharu berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Pandangan Perdana Menteri ialah dalam isu keselamatan melibatkan balai polis, bagi mereka yang ingin buat laporan, seharusnya tidak berlaku apa-apa keadaan yang menghalang mereka daripada membuatnya,” katanya lagi.
Insiden yang mencetuskan perbahasan awam itu berlaku pada Isnin lalu, apabila seorang wanita dan anak perempuannya dilarang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di Melaka kerana wanita tersebut memakai skirt sedikit lebih pendek daripada paras lutut.-The Merdeka Times