Connect with us

Terkini

Desakan pemansuhan SOSMA wajar ditolak – Ayob Khan

Published

on

Foto: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
  • Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata isu hak asasi perlu diimbangi dengan keperluan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.
  • “Jangan terlalu taksub atau obses dengan hak asasi sehingga mengenepikan keselamatan negara. Jangan menyesal setelah berlaku serangan pengganas besar-besaran seperti di negara jiran dan di peringkat antarabangsa.
  • “Serangan-serangan yang berjaya digagalkan oleh Cawangan Khas adalah kerana Malaysia mempunyai ISA (waktu itu), tiada gunanya lagi penyesalan selepas berlaku serangan dan nyawa tidak berdosa terkorban,” katanya.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan desakan sesetengah pihak supaya undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan kini Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 dimansuhkan, wajar ditolak.

Menurut beliau, isu hak asasi perlu diimbangi dengan keperluan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.

“Jangan terlalu taksub atau obses dengan hak asasi sehingga mengenepikan keselamatan negara. Jangan menyesal setelah berlaku serangan pengganas besar-besaran seperti di negara jiran dan di peringkat antarabangsa.

“Serangan-serangan yang berjaya digagalkan oleh Cawangan Khas adalah kerana Malaysia mempunyai ISA (waktu itu), tiada gunanya lagi penyesalan selepas berlaku serangan dan nyawa tidak berdosa terkorban,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Ayob Khan, dalam konteks undang-undang pencegahan, negara-negara Barat dan di Asia juga turut memiliki undang-undang yang hampir sama dalam menangani ancaman pengganas dan lain-lain ancaman terhadap keselamatan negara.

“Singapura dan Brunei masih mengekalkan ISA. Amerika Syarikat masih ada Patriot Act. Begitu juga dengan Indonesia, India, Perancis, Australia dan lain-lain negara Barat,” tegasnya,

Beliau memberitahu empat bulan selepas dunia digegarkan dengan serangan 911 oleh Kumpulan Al-Qaeda, rantau Asia Tenggara menjadi tumpuan ekoran pembongkaran kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) oleh Cawangan Khas PDRM pada Disember 2001.

“Ada juga segelintir pihak yang skeptikal dan cuba mengaitkan tindakan pembanterasan kumpulan JI oleh Cawangan Khas sebagai “teori konspirasi” untuk memburukkan imej Islam dan cuba mengalih isu-isu politik dalaman Malaysia.

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa Cawangan Khas telah mula memantau aktiviti anggota-anggota JI sejak awal tahun 2000 lagi.
Cawangan Khas adalah agensi perisikan paling awal menghidu dan mengesan aktiviti JI yang mempunyai rangkaian di peringkat Asia Tenggara, Australia dan dengan Kumpulan Al-Qaeda,” ujarnya.

Justeru itu, katanya tindakan proaktif yang diambil oleh Cawangan Khas di bawah ISA telah berjaya menggagalkan cubaan kumpulan JI untuk melancarkan serangan ganas di Malaysia.

“Rancangan serangan Pusat Imigresen Woodland Singapura, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Pusat Hiburan di Lembah Klang dan kedutaan-kedutaan asing di Kuala Lumpur tergendala ekoran tangkapan besar-besaran anggota kanan JI.

“Perancang utama JI seperti HAMBALI, Mukhlas, Dr. Azahari, Nordin Mohd Top dan lain-lain melarikan diri ke luar negara. Mereka inilah yang kemudiannya merancang dan melancarkan siri serangan besar-besaran di Indonesia bermula dari Oktober 2002,” jelasnya.

Ayob menegaskan, Malaysia beruntung kerana mempunyai pegawai atau anggota Cawangan Khas yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menangani ancaman ini.

“Kita juga bernasib baik kerana ketika itu kita masih mempunyai ISA, satu-satunya undang-undang pencegahan dan pemulihan yang amat berkesan dalam menangani ancaman ke atas keselamatan negara sejak kita merdeka lagi.

“Kejayaan Cawangan Khas dalam membongkar aktiviti kumpulan JI mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author