Connect with us

Terkini

Rombakan kabinet : H2O, Maszlee antara nama yang wajar dipertimbang – ILHAM Centre

Published

on

Foto: Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri), Dr Maszlee Malik (kanan) dam Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah).
  • Menurut penganalisis politik dan Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis, penambahbaikan kabinet tidak semestinya dilakukan secara besar-besaran, tetapi perlu memberi impak melalui pemilihan individu yang kompeten.
  • “Secara peribadi saya lebih berharap individu yang proven, ada track record pentadbiran perlu dipertimbangkan masuk ke kabinet seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Dr Maszlee Malik atau menaiktaraf beberapa timbalan menteri yang berkeupayaan menjawat jawatan menteri penuh seperti Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin. Nama-nama seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Mohd Shahar Abdullah mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.

KUALA LUMPUR – Pelantikan tokoh berpengalaman dan mempunyai rekod pentadbiran kukuh wajar menjadi keutamaan dalam rombakan kabinet yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Demikian pandangan penganalisis politik dan Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis, yang menekankan bahawa pembaharuan kabinet perlu dipandu oleh merit dan keupayaan, bukan semata-mata kepentingan politik.

Menurutnya, penambahbaikan kabinet tidak semestinya dilakukan secara besar-besaran, tetapi perlu memberi impak melalui pemilihan individu yang kompeten.

“Secara peribadi saya lebih berharap individu yang proven, ada track record pentadbiran perlu dipertimbangkan masuk ke kabinet seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Dr Maszlee Malik atau menaiktaraf beberapa timbalan menteri yang berkeupayaan menjawat jawatan menteri penuh seperti Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

“Nama-nama seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Mohd Shahar Abdullah mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.

Mujibu menjelaskan bahawa prerogatif melantik atau mengekalkan menteri kekal di tangan Perdana Menteri. Namun, tanpa indikator penilaian seperti KPI kementerian, sukar untuk masyarakat menilai prestasi menteri secara objektif.

Oleh itu, fokus utama seharusnya memastikan individu yang terbukti berwibawa diberi peluang memimpin kementerian strategik.

Beliau turut menekankan bahawa empat kementerian yang kini tanpa menteri tetap perlu diisi segera iaitu Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Kekosongan tersebut, katanya, tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana dasar serta pelaksanaan mungkin tergendala akibat pemangkuan yang terlalu lama.

Mujibu menambah bahawa rombakan Kabinet berskala kecil adalah memadai memandangkan tempoh mandat kerajaan hanya berbaki satu hingga dua tahun. Rombakan besar, katanya, boleh menggangu kelangsungan pentadbiran kementerian.

Jika ada pertukaran, ia sepatutnya berbentuk penggantian menteri dengan muka baharu yang lebih segar dan meyakinkan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan mengekalkan menteri berprestasi baik, profesional dan bebas kontroversi demi menjaga kestabilan politik dan keseimbangan representasi negeri serta parti.

Ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa majoriti menteri sedia ada akan dikekalkan jika tiada isu besar.

Mujibu juga melihat bahawa meskipun kecil, rombakan Kabinet tetap mampu memberi kesan positif yang besar sekiranya pelantikan dibuat berdasarkan merit.

 “Pelantikan tokoh yang berwibawa di kementerian strategik menghantar isyarat jelas bahawa kerajaan serius tentang prestasi dan reformasi. Ini penting untuk memulihkan keyakinan rakyat, terutama menjelang pilihan raya,” katanya.

Namun beliau memberi amaran bahawa jika rombakan hanya dilihat sebagai langkah politik atau usaha memberi jawatan kepada penyokong tertentu, persepsi skeptikal rakyat akan berterusan.

“Kuncinya bukan saiz rombakan, tetapi kualiti individu yang dilantik serta mesej reform yang kerajaan ingin sampaikan,” ujarnya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author