Connect with us

Terkini

Penguatkuasaan terlalu keras & sensasi media jejas akses rawatan HIV – MAC

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • MAC menentang keras penggunaan status HIV, preskripsi ART mahupun pemilikan kondom dan PrEP sebagai asas intimidasi atau pendakwaan, menyifatkannya sebagai tidak beretika dan merencatkan usaha kesihatan awam.
  • MAC menegaskan bahawa naratif penuh prejudis sebegini meminggirkan komuniti terkesan dan melemahkan kemajuan respons HIV negara yang dibina selama lebih tiga dekad.

KUALA LUMPUR – Majlis AIDS Malaysia (MAC) memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan yang terlalu keras serta sensasi melampau dalam isu berkaitan HIV/AIDS menggugat akses komuniti berisiko terhadap rawatan dan pencegahan.

Menurut MAC, pendekatan sedemikian berpotensi menjadi penghalang besar kepada usaha kesihatan awam negara.

Dalam satu kenyataan, MAC menyorot perkembangan mutakhir di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang telah mencetuskan polemik nasional.

 “Tindakan penguatkuasaan yang terlalu keras ditambah pula kecenderungan pihak tertentu untuk mensensasikan insiden berkenaan dan menggunakan HIV/AIDS sebagai senjata untuk menyerang anggota komuniti dikhuatiri menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapat akses kepada perkhidmatan pencegahan dan rawatan HIV/AIDS,” kata MAC.

MAC menegaskan bahawa naratif penuh prejudis sebegini meminggirkan komuniti terkesan dan melemahkan kemajuan respons HIV negara yang dibina selama lebih tiga dekad.

Perkembangan sains perubatan telah menjadikan HIV penyakit kronik yang boleh dikawal, namun masih wujud kelompok yang memilih untuk menyebarkan ketakutan dan stereotaip negatif.

Malaysia sebelum ini diiktiraf sebagai peneraju antarabangsa dalam Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction), dengan intervensi berasaskan bukti diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pendekatan sensitif budaya dan agama ini terbukti berjaya mengurangkan jangkitan baharu HIV serta memperluas akses rawatan.

MAC turut menyatakan bahawa penguatkuasaan ekstrem bercanggah dengan prinsip kesihatan awam dan tidak sehaluan dengan pendirian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang sebelum ini menyokong pendekatan berasaskan belas ihsan terhadap isu HIV.

Sehubungan itu, MAC menggesa pemimpin politik, pembuat dasar, pengamal media dan pempengaruh menghentikan naratif yang menstigmakan individu hidup dengan HIV serta komuniti berisiko.

Fokus utama, katanya, perlu kembali kepada matlamat negara: menamatkan AIDS menjelang 2030 seperti termaktub dalam Pelan Strategik Kebangsaan KKM.

MAC turut menegaskan fakta saintifik penting: Tidak Dikesan = Tidak Boleh Dijangkiti (U=U). Individu yang mengambil rawatan antiretroviral (ART) secara konsisten sehingga tahap virus tidak dapat dikesan tidak akan menjangkiti orang lain, termasuk melalui hubungan seksual.

Dalam masa yang sama, MAC menentang keras penggunaan status HIV, preskripsi ART mahupun pemilikan kondom dan PrEP sebagai asas intimidasi atau pendakwaan, menyifatkannya sebagai tidak beretika dan merencatkan usaha kesihatan awam.

MAC merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan, masyarakat sivil dan rakan kerjasama yang terus komited kepada pendekatan respons HIV yang berlandaskan belas ihsan dan bukti saintifik.

Organisasi itu menggesa semua pihak menghentikan tindakan menindas komuniti berisiko dan bekerja bersama bagi memastikan akses kepada rawatan, pencegahan dan sokongan dapat diperkukuh demi mencapai aspirasi Malaysia bebas AIDS menjelang 2030.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author