Antarabangsa
Lebih 57,000 ketua isi rumah Gaza kini wanita, hidup dalam kesengsaraan melampau – UN
- “Mereka sangat terdedah, tanpa pendapatan dan tanpa jaminan makanan harian,” – Wakil UNFPA di Palestin, Nestor Owomuhangi.
- “Orang ramai tidak lagi meminta rumah, pendidikan atau makanan berkhasiat. Mereka hanya meminta khemah, pemanas kecil atau lampu. Harapan mereka telah runtuh sama hancur seperti bangunan yang musnah,” ujarnya.
GAZA – Lebih 57,000 isi rumah di Semenanjung Gaza kini diketuai wanita, dengan majoriti hidup dalam keadaan kesengsaraan melampau akibat kemusnahan perang, menurut Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).
Situasi ini digambarkan sebagai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat kelaparan, tempat perlindungan yang sesak dan penularan penyakit.
Wakil UNFPA di Palestin, Nestor Owomuhangi, berkata kebanyakan keluarga masih berteduh di pusat perlindungan yang padat dan tidak selamat.
“Hampir semua keluarga hidup dalam keadaan sesak di mana kelaparan dan penyakit menjadi ancaman harian,” katanya dalam sidang media maya selepas melawat hospital, pusat selamat wanita dan kanak-kanak, hub belia serta kem perpindahan di seluruh Gaza.
Beliau menegaskan bahawa lebih 57,000 isi rumah kini diketuai wanita, dan ramai daripada mereka tidak mempunyai sumber pendapatan untuk menyara anak-anak.
“Mereka sangat terdedah, tanpa pendapatan dan tanpa jaminan makanan harian,” katanya.
Keadaan bertambah buruk dengan kedatangan musim sejuk.
“Hujan musim sejuk dan banjir menambah lagi penderitaan,” jelas Owomuhangi, sambil memaklumkan bahawa keluarga kini sanggup beratur berjam-jam hanya untuk mendapatkan sedikit makanan dan air.
“Orang ramai tidak lagi meminta rumah, pendidikan atau makanan berkhasiat. Mereka hanya meminta khemah, pemanas kecil atau lampu. Harapan mereka telah runtuh sama hancur seperti bangunan yang musnah,” ujarnya.
Owomuhangi turut menggambarkan keadaan sistem kesihatan Gaza sebagai “hancur”. Hanya satu pertiga daripada fasiliti kesihatan masih beroperasi, itu pun secara separa, manakala semua pusat perubatan kekurangan kakitangan, bekalan asas dan peralatan.
“Sistem kesihatan Gaza masih bertahan hanya kerana petugasnya enggan meninggalkannya,” katanya.
Beliau menekankan keperluan mendesak untuk membina semula kemudahan perubatan yang musnah dan memastikan bekalan ubat serta peralatan kritikal dihantar secara konsisten. Trauma generasi muda Gaza juga menjadi kebimbangan utama.
“Trauma yang dialami belia Gaza akan membentuk generasi ini. Namun ketabahan mereka sangat mengharukan,” tambahnya.
Sejak gencatan senjata pada 10 Oktober, UNFPA melaporkan bahawa mereka telah membantu 120,000 wanita dan kanak-kanak perempuan dengan perkhidmatan kesihatan reproduktif, kit kehormatan, dan bantuan kepada mangsa keganasan berasaskan gender.
UNFPA kini menyokong 22 fasiliti kesihatan, termasuk lima hospital, 36 pusat selamat wanita dan kanak-kanak, dua pusat perlindungan serta sembilan hub belia, dengan rancangan menggandakan jumlah itu menjelang 2026.
Namun, akses bantuan masih menjadi cabaran besar.
“Dengan hanya tiga lintasan dibuka dan tidak pernah dibuka serentak serta halangan birokrasi untuk membawa masuk bekalan, kelewatan masih sangat besar,” kata Owomuhangi. Beliau menegaskan keperluan akses kemanusiaan yang “konsisten, selamat dan boleh diramal” ke seluruh Gaza agar proses pemulihan dapat digerakkan.-The Merdeka Times