Connect with us

Terkini

Tiada ‘kursus lelong’ di IPT, kualiti ikut standard dalam dan luar negara – MQA

Published

on

Foto: Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
  • Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata antara tanggungjawab utama agensi itu ialah memastikan setiap program mencapai tahap minimum kualiti agar boleh diterima bukan sahaja dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
  • “Antara terjemahan kualiti pendidikan tinggi kita adalah di mana graduan-graduan itu laris di pasaran sebaik sahaja mereka keluar daripada program,” katanya.
  • Menurut beliau, pihak universiti diwajibkan menjalankan kajian kebolehpasaran dengan mendapatkan input daripada pelbagai pihak termasuk majikan, agensi kerajaan dan swasta, selain ibu bapa.

KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan bahawa setiap program pengajian yang ditawarkan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara telah melalui proses penilaian ketat sebelum diluluskan, sekali gus menolak dakwaan wujudnya ‘kursus lelong’ di universiti.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata antara tanggungjawab utama agensi itu ialah memastikan setiap program mencapai tahap minimum kualiti agar boleh diterima bukan sahaja dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya, kalau kita lihat antara tugas-tugas utama MQA adalah untuk memastikan kualiti program-program yang ditawarkan itu mencapai tahap minimum, supaya ia boleh diterima pakai bukan sekadar dalam Malaysia dan juga di luar negara.

“Kita pasti, antara terjemahan kualiti pendidikan tinggi kita adalah di mana graduan-graduan itu laris di pasaran sebaik sahaja mereka keluar daripada program.

“Bagi memastikan perkara yang sedemikian dapat direalisasikan, MQA sentiasa laksanakan pemantauan, semua program yang ditawarkan ataupun yang akan ditawarkan itu oleh pihak universiti awam dan swasta,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times

Beliau mengulas khabar angin yang mengatakan institusi pengajian tinggi di negara ini banyak menawarkan ‘kursus lelong’ atau kursus yang sudah tidak relevan kepada pelajar.

Menurut beliau, pihak universiti diwajibkan menjalankan kajian kebolehpasaran dengan mendapatkan input daripada pelbagai pihak termasuk majikan, agensi kerajaan dan swasta, selain ibu bapa.

“Supaya bila program yang ditawarkan itu melahirkan graduan-graduan, maka graduan-graduan itu tidaklah terpaksa menganggur kerana graduan itu tidak laku.

“Jadi apabila dilakukan kajian pasaran yang sedemikian, pastinya graduan-graduan itu tidak mempunyai masalah untuk mempunyai pekerjaan kerana ia ditawarkan berdasarkan keperluan yang telah diberikan input oleh majikan-majikan dan juga beberapa stakeholder yang lain,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa MQA hanya meluluskan sesuatu program jika hasil kajian tersebut meyakinkan panel penilai bahawa graduan tidak akan berdepan masalah pekerjaan selepas tamat pengajian.

Tambah beliau setiap program yang telah diberi akreditasi juga wajib melalui proses penilaian semula sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, atau lebih kerap jika berlaku perubahan pesat dalam bidang berkaitan.

“Program yang berkaitan dengan ICT, kecerdasan buatan (AI), ianya berlaku hampir setiap tahun maka universiti bertanggungjawab melakukan penambahbaikan kepada program-program atau mata pelajaran tersebut,” tegasnya.

Dr. Mohammad Shatar turut menolak sebarang dakwaan bahawa wujud ‘kursus-kursus lelong’ di IPT.

“Sebenarnya di peringkat kementerian atau juga MQA tidak ada istilah yang dipanggil sebagai kursus-kursus lelong, semua program telah pun melalui proses saringan atau penilaian yang ketat.”

“Ia sentiasa ditambah baik, sentiasa disesuaikan dengan keperluan semasa, justeru tiada istilah program atau kursus-kursus lelong,” katanya.

Katanya, kualiti pendidikan tinggi Malaysia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa, membolehkan graduan negara diterima untuk mobiliti akademik, pemindahan kredit dan melanjutkan pengajian di mana-mana sahaja.

“Pendidikan tinggi di Malaysia ini mendapat pengiktirafan daripada semua badan-badan akreditasi global, mereka tidak ada sangsi terhadap kualiti yang telah kita jalankan di negara ini.”

“Program-program yang ditawarkan juga sentiasa dipantau dan juga sebab program-program kita sentiasa berada di tahap yang baik,” jelasnya.

Beliau menasihatkan pelajar dan ibu bapa supaya menyemak status akreditasi mana-mana program sebelum menerima tawaran kemasukan.

Baru- baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, setiap kursus pengajian yang ditawarkan universiti sentiasa melalui proses semakan berkala setiap tiga hingga lima tahun bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan industri semasa.

“Kita dengar kononnya ada kursus-kursus lelong iaitu kursus yang dah tak laku (tetapi) universiti tawar juga kepada pelajar-pelajar. Universiti tidak amalkan perkara itu kerana setiap tiga ke lima tahun, mereka akan merangka dan melihat semula kursus-kursus yang ditawarkan bagi menilai sama ada ia masih relevan atau tidak.

“Pada hari ini, dalam dunia digital transformasi yang berlaku di hadapan kita, tentunya kita memerlukan beberapa pendekatan baru untuk mengemukakan kurikulum-kurikulum baru di universiti,” katanya di sidang Dewan Negara semalam. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author