Connect with us

Terkini

Perjanjian ART Malaysia-AS ibarat ‘penjajahan semula’ – Veteran ATM

Published

on

Foto: Sidang Media Tun Dr Mahathir bersama bekas Panglima Angkatan Tentera & bekas Jeneral-Jeneral Angkatan Tentera Malaysia.
  • Bekas Panglima ATM Jeneral (B) Borhan Ahmad berkata perjumpaan bersama Majlis Raja-Raja sedang dirancang bagi membincangkan masalah ini.
  • “Semua kejayaan yang kita banggakan hari ini, adakah ia wujud jika ATM gagal menjalankan tugasnya? Sudah tentu tidak. Jangan sampai kita menjual negara hingga kembali menjadi pengemis,” tegas bekas Panglima ATM Jeneral (B) Borhan Ahmad.

KUALA LUMPUR – Golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tampil menyatakan bantahan terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai mengancam kedaulatan negara serta menyerupai “penjajahan semula”.

Dalam sidang media bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, bekas Panglima ATM Jeneral (B) Borhan Ahmad memaklumkan bahawa kumpulan veteran berhasrat menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyuarakan kebimbangan mereka berhubung perjanjian tersebut.

Borhan berkata perjumpaan bersama Majlis Raja-Raja sedang dirancang bagi membincangkan masalah ini.

“Kita sudah merancang untuk menghadap raja-raja bagi membincangkan masalah yang timbul sekarang.

“Kita mahu mendapatkan pandangan mereka dan melihat apakah tindakan yang boleh diambil oleh majlis,” katanya.

Borhan yang mewakili veteran ATM, menegaskan perjanjian tersebut memberi gambaran Malaysia tidak lagi mengekalkan sikap berkecuali seperti sebelum ini, malah seakan-akan menyerahkan kedaulatan kepada kuasa luar.

“Perjanjian perdagangan yang ditandatangani itu menunjukkan kita telah mengorbankan kedaulatan serta integriti negara. Ini bukan ciri-ciri sebuah negara merdeka.

“Adakah kita kini sedang dijajah semula atau dipaksa menerima perjanjian berat sebelah? Mengapa kita perlu tunduk kepada ancaman sekatan dan kenaikan ‘cukai’ jika kita tidak bersetuju dengan peraturan perdagangan yang tidak munasabah?,” jelasnya.

Beliau mengingatkan bahawa ATM memainkan peranan besar dalam mempertahankan kemerdekaan negara, dan segala kemajuan yang dikecapi hari ini tidak mungkin dicapai tanpa pengorbanan tentera.

“Semua kejayaan yang kita banggakan hari ini, adakah ia wujud jika ATM gagal menjalankan tugasnya? Sudah tentu tidak. Jangan sampai kita menjual negara hingga kembali menjadi pengemis,” tegasnya.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut menyatakan kebimbangan yang sama, menyatakan keresahan yang disuarakan oleh bekas anggota tentera itu turut dikongsi oleh orang ramai.

“Bukan hanya veteran tentera, rakyat juga menyokong pendirian mereka. Kita tidak tahu apa akan terjadi jika kita berada di bawah pengaruh AS.

“Malaysia negara merdeka, tetapi jika kita tunduk kepada AS, belum tentu kemerdekaan itu masih ada,” jelas Dr Mahathir.

Awal minggu ini, Dr Mahathir membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan “pengkhianatan” berkaitan perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-AS yang dimeterai pada Oktober lalu.

Dalam laporan yang dibuat di IPD Putrajaya pada 2 Disember, beliau turut meminta siasatan dilakukan terhadap pegawai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Peguam Negara, serta mana-mana pihak yang terlibat dalam penyediaan, rundingan dan pemeteraian perjanjian itu.

Mahathir menuduh Anwar melakukan sabotaj terhadap negara dan terlibat dalam tindakan yang merugikan demokrasi berparlimen.

Antara klausa yang dipersoalkan termasuk Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3, serta peruntukan berkaitan dasar digital, peraturan domestik, kepentingan Bumiputera dan hak yang dijamin di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menggesa agar disiasat kemungkinan wujud pengaruh asing, ancaman terhadap keselamatan negara, penyalahgunaan kuasa atau kecuaian serius dalam pengurusan isu nadir bumi dan mineral kritikal. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author