Terkini
Amalan songsang runtuhkan fitrah, struktur semula jadi manusia – Mufti Wilayah Persekutuan
- Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata hubungan sejenis adalah penyimpangan daripada fitrah semula jadi dan boleh mengakibatkan kekeliruan identiti serta masalah psikososial dalam kalangan masyarakat.
- Tambah beliau, apabila budaya songsang dinormalisasikan, ia membawa implikasi besar antaranya hilangnya sifat malu (haya’) yang merupakan cabang iman, kecelaruan identiti dan gangguan nilai generasi muda, melemahkan maruah diri dan integriti moral seorang Muslim, serta membuka ruang kepada normalisasi maksiat lain.
KUALA LUMPUR – Amalan songsang bukan sekadar menolak hikmah yang terkandung dalam kejadian manusia, bahkan merosakkan struktur semula jadi manusia itu sendiri.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata hubungan sejenis adalah penyimpangan daripada fitrah semula jadi dan boleh mengakibatkan kekeliruan identiti serta masalah psikososial dalam kalangan masyarakat.
Tambah beliau, apabila budaya songsang dinormalisasikan, ia membawa implikasi besar antaranya hilangnya sifat malu (haya’) yang merupakan cabang iman, kecelaruan identiti dan gangguan nilai generasi muda, melemahkan maruah diri dan integriti moral seorang Muslim, serta membuka ruang kepada normalisasi maksiat lain.
“Akhlak merupakan tunjang utama kekuatan ummah. Kemerosotan akhlak secara langsung akan meruntuhkan ketahanan moral dan spiritual masyarakat.
“Dalam konteks kerangka Maqasid Syariah, amalan hubungan sejenis (songsang) membawa implikasi negatif yang serius terhadap dua aspek kritikal pembinaan negara iaitu Maqasid al-Tadayyun (Pemeliharaan dan Keteguhan Agama) dan Maqasid al-‘Umran (Pemeliharaan dan Kestabilan Sosial serta Tamadun),” katanya menerusi perkongsian Tinta Mufti di Facebook.
Jelas Ahmad Fauwaz, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi, tetapi lebih utama pada kekuatan institusi kekeluargaan dan moral yang dipegang teguh oleh setiap rakyatnya.
Menurut beliau, langkah-langkah komprehensif perlu diambil bagi membendung gejala songsang tersebut.
“Antaranya ialah, pengukuhan pendidikan, memberikan pendidikan yang didasarkan pada ilmu dan kefahaman syariah yang mendalam, pemerkasaan institusi kekeluargaan, menguatkan peranan dan fungsi institusi keluarga sebagai benteng utama.
“Selain itu, penyebaran dakwah berhikmah, melaksanakan penerangan agama secara bijaksana, berhikmah dan berkesan, kolaborasi strategik, mewujudkan kerjasama yang erat antara ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.
“Akhir sekali ialah perumusan dasar negara, membina dasar-dasar negara yang selaras dengan tujuan syarak dalam memelihara agama (Maqasid al-Tadayyun) dan membangunkan peradaban negara (Maqasid al-‘Umran),” tegasnya.
Ahmad Fauwaz berkata apabila masyarakat teguh berpandukan nilai agama yang sahih, negara akan menikmati keamanan, kemakmuran dan sentiasa berada dalam keberkatan.
“Justeru, pertahankanlah keamanan yang telah terbina ini dan janganlah ia diruntuhkan dengan budaya dan perilaku songsang yang tidak bermoral dan bercanggah dengan kelestarian manusia,” ujarnya. – The Merdeka Times