Terkini
Aktiviti Songsang: Pengamal perubatan terlibat berisiko dedah pesakit penyakit berjangkit
- Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpendapat tingkah laku sedemikian bukan sahaja menjejaskan profesion tetapi turut mengundang pelbagai risiko penyakit.
- “Doktor yang mengamalkan aktiviti songsang ini bukan sahaja membahayakan kesihatan diri kerana perbuatannya itu.
- “Malah lebih membimbangkan mereka ini boleh mengundang jangkitan penyakit kepada pesakit yang dirawat itu juga,” katanya
KUALA LUMPUR – Tingkah laku tidak bermoral pengamal perubatan boleh dedah pesakit kepada risiko penyakit berjangkit, jelas Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Beliau mengulas serbuan pihak berkuasa, baru-baru ini di sebuah premis di ibu negara yang dijadikan aktiviti seks songsang membabitkan 201 pengunjung, termasuk 17 penjawat awam.
Difahamkan, antara penjawat awam yang ditahan melibatkan kakitangan perubatan termasuk doktor pakar selain guru, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Dr. Zainal Ariffin berpendapat tingkah laku sedemikian bukan sahaja menjejaskan profesion tetapi turut mengundang pelbagai risiko penyakit.
“Doktor yang mengamalkan aktiviti songsang ini bukan sahaja membahayakan kesihatan diri kerana perbuatannya itu.
“Malah lebih membimbangkan mereka ini boleh mengundang jangkitan penyakit kepada pesakit yang dirawat itu juga,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Mantan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang itu berkata kepercayaan serta integriti terhadap doktor boleh terjejas, sekali gus memberi kesan kepada reputasi keseluruhan profesion.
“Saya yakin sedikit sebanyak kepercayaan dan integriti doktor akan terjejas kerana perbuatan itu.
“Apa yang lebih memburukkan keadaan, ia juga turut mencemarkan imej profesion pengamal perubatan,” jelasnya.
Mengulas tentang aspek tanggungjawab moral, beliau berkata masyarakat sememangnya meletakkan doktor pada standard yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila nasihat mengenai kesihatan dan pencegahan risiko penyakit.
“Perkara sebegini, amat mengejutkan, kerana sebagai seorang doktor atau pengmal perubatan akan sentiasa memberi nasihat agar jauhi perkara tidak bermoral seperti itu.
“Namun apa yang berlaku, doktor itu sendiri yang terlibat dalam aktiviti songsang seperti itu yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap pengamal perubatan,” tegasnya.
Dr. Zainal Ariffin menegaskan bahawa peraturan serta tindakan tatatertib sedia ada sebenarnya mencukupi, namun pelaksanaan perlu diperkukuh.
“Tidak perlu untuk diubah atau dipinda sebarang peraturan, kerana saya rasa ia sudah mencukupi, namun perlunya pengukuhan dari segi pemantauan, laporan dan penguatkuasaan.
“Yang penting perlu ada laporan. Jika ada pelanggaran boleh diambil tindakan tatatertib, termasuk laporan kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk tindakan disiplin,” katanya. – The Merdeka Times