Terkini
Penggantungan ahli Parlimen hukuman berat, nafi hak rakyat – Penganalisis politik
- Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata setiap tindakan disiplin terhadap ahli Parlimen terutama penggantungan seharusnya melalui proses paling telus dan adil, termasuk dirujuk kepada sebuah jawatankuasa bebas.
- Beliau menekankan bahawa jika proses disiplin dipintas, tanpa jaminan due process, ia boleh melemahkan institusi Parlimen lebih daripada ucapan asal ahli Parlimen yang dipersoalkan.
- “Mesyuarat dan keputusan penting di Dewan termasuk undang-undang dan perbahasan dasar terus berlaku, tetapi suara dari kawasan tersebut tidak diwakili,” katanya.
KUALA LUMPUR – Penggantungan seorang ahli Parlimen dianggap sebagai hukuman paling berat kerana ia menafikan hak pengundi di kawasan berkenaan untuk diwakili.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata setiap tindakan disiplin terhadap ahli Parlimen terutama penggantungan seharusnya melalui proses paling telus dan adil, termasuk dirujuk kepada sebuah jawatankuasa bebas.
Beliau menekankan bahawa jika proses disiplin dipintas, tanpa jaminan ‘due process’, ia boleh melemahkan institusi Parlimen lebih daripada ucapan asal ahli Parlimen yang dipersoalkan.
“Seorang ahli Parlimen yang digantung tidak dibenarkan hadir dalam sidang Dewan Rakyat dan mesyuarat berkaitan, sekaligus tertakluk kepada kehilangan suara di Dewan. Dalam situasi ini, golongan pengundi di kawasan Parlimen tersebut kehilangan wakil yang sah dalam Dewan.
“Mesyuarat dan keputusan penting di Dewan termasuk undang-undang dan perbahasan dasar terus berlaku, tetapi suara dari kawasan tersebut tidak diwakili.
“Institusi Parlimen mempunyai mekanisme untuk mempertimbangkan sebarang dakwaan terhadap kelakuan ahli Parlimen, misalnya melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya kepada The Merdeka Times.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dijadual mencadangkan usul untuk menggantung Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Usul itu dibuat susulan kenyataan Takiyuddin berhubung satu kejadian yang membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila dekat Marang, Terengganu, yang dikaitkan dengan peristiwa Memali di baling, Kedah pada 1985.
Cadangan pergantungan itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.
Melalui maklumat dikongsi AUM itu, usul berkenaan menyatakan Takiyuddin dalam ucapannya mengaitkan kejadian di Masjid Ruslia dengan Peristiwa Memali pada 1985, serangan terhadap tempat ibadat dan percubaan untuk menakutkan rakyat.
Ucapan Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) didakwa turut memberi imej negatif terhadap anggota dan imej Maritim Malaysia sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.
Kartini menegaskan penggantungan hanya wajar selepas ada keputusan jawatankuasa bebas, bukan melalui keputusan tergesa-gesa, jika tidak, hukuman itu bukan sahaja membebankan ahli Parlimen tetapi sebenarnya menganiaya hak rakyat. – The Merdeka Times