Terkini
PAS Terengganu gesa pindaan segera undang-undang berkaitan kesalahan seksual songsang
- “Penularan gejala ini bukan sahaja menyalahi norma agama dan budaya, malah mengundang risiko besar terhadap keselamatan pelajar, kestabilan institusi pendidikan dan kesihatan awam, khususnya berkaitan gangguan seksual, grooming serta penyakit berjangkit,” jelas Lajnah Kesihatan PAS Terengganu, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin.
- Menurutnya, pembabitan sebahagian penjawat awam dalam aktiviti homoseksual berunsur tidak bermoral itu menjejaskan kredibiliti jabatan kerajaan, melemahkan integriti perkhidmatan awam dan memberi isyarat negatif kepada masyarakat.
- Beliau berkata pihaknya turut menzahirkan kebimbangan terhadap kelemahan undang-undang sedia ada apabila beberapa permohonan reman kes berskala besar ditolak atas alasan teknikal, termasuk jumlah tangkapan yang ramai dan proses lewat.
KUALA LUMPUR – PAS Terengganu menggesa kerajaan melakukan pindaan segera terhadap undang-undang berkaitan moral dan kesalahan seksual songsang, selepas mendakwa berlaku peningkatan kes melibatkan aktiviti tidak bermoral tersebut.
Lajnah Kesihatan PAS Terengganu, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata pihak berkuasa juga perlu memastikan standard prosedur operasi (SOP) penguatkuasaan lebih jelas bagi kes melibatkan tangkapan besar dan perintah reman.
“Antara lain, Kementerian Pendidikan memperketat saringan terhadap pendidik serta mewujudkan garis panduan keselamatan pelajar.
“Malah kempen kesedaran fitrah dan kesihatan awam dipergiatkan secara bersepadu di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan jabatan kerajaan bagi membendung gejala ini dari berterusan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tengku Muhammad menjelaskan pihaknya mengambil perhatian serius terhadap penularan budaya songsang (homoseksual/gay) yang semakin ketara melibatkan individu dalam sektor awam, institusi pendidikan serta komuniti umum.
“Laporan dan maklumat yang diterima menunjukkan peningkatan aktiviti tidak bermoral secara terbuka, termasuk penglibatan penjawat awam serta beberapa insiden membabitkan pendidik di sekolah.
“Penularan gejala ini bukan sahaja menyalahi norma agama dan budaya, malah mengundang risiko besar terhadap keselamatan pelajar, kestabilan institusi pendidikan dan kesihatan awam, khususnya berkaitan gangguan seksual, grooming serta penyakit berjangkit,” jelasnya.
Menurutnya, pembabitan sebahagian penjawat awam dalam aktiviti homoseksual berunsur tidak bermoral itu menjejaskan kredibiliti jabatan kerajaan, melemahkan integriti perkhidmatan awam dan memberi isyarat negatif kepada masyarakat.
Selain itu, tambahnya, terdapat aduan melibatkan guru dan penggiat pendidikan yang terlibat dengan kecenderungan homoseksual sehingga mencetuskan risiko grooming dan eksploitasi pelajar.
“Lajnah Kesihatan berpandangan bahawa keselamatan pelajar adalah keutamaan dan sebarang tingkah laku yang menimbulkan ancaman mesti ditangani segera melalui siasatan dan tindakan tegas,” tegasnya.
Beliau berkata pihaknya turut menzahirkan kebimbangan terhadap kelemahan undang-undang sedia ada apabila beberapa permohonan reman kes berskala besar ditolak atas alasan teknikal, termasuk jumlah tangkapan yang ramai dan proses lewat.
“Isu ini menyebabkan tiada tindakan undang-undang dapat diambil dengan efektif, sekali gus memberi ruang kepada pihak terlibat untuk terus beroperasi tanpa rasa gentar,” ujarnya.
Tengku Muhammad memberi amaran bahawa normalisasi budaya songsang berpotensi menjejaskan institusi keluarga dan kesihatan awam serta boleh membawa kepada kekeliruan moral dalam kalangan generasi muda jika tidak ditangani segera.
“Budaya songsang bukan isu individu semata-mata, tetapi krisis sosial yang memerlukan tindakan strategik dan tegas oleh pihak berkuasa.
“Mencegah budaya songsang adalah tanggungjawab bersama demi generasi yang lebih sihat, bermaruah dan selamat,” katanya. – The Merdeka Times