Terkini
Perjanjian ART: ‘Tiada PM sebelum ini beri begitu banyak konsesi, jejas kedaulatan negara’ – Ramasamy
- Presiden Urimai, P. Ramasamy berkata kesilapan Perdana Menteri menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober 2025 tidak dapat diselindungi dengan retorik mengenai peningkatan pelaburan atau penciptaan pekerjaan.
- “Pengurangan tarif sehingga hanya 19 peratus tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima perjanjian yang tidak seimbang dengan Amerika Syarikat,” katanya.
- Ramasamy mendakwa, hasil penelitian terhadap perjanjian tersebut menunjukkan kepentingan ekonomi dan kewangan Malaysia terikat kepada kepentingan geopolitik dan strategik AS.
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy menegaskan tiada perdana menteri sebelum ini yang telah memberikan begitu banyak konsesi berkaitan kedaulatan dan kebebasan negara seperti yang telah dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, kesilapan Anwar menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober 2025 tidak dapat diselindungi dengan retorik mengenai peningkatan pelaburan atau penciptaan pekerjaan.
“Anwar sedar sepenuhnya bahawa ART ialah perjanjian yang terkenal sebagai perjanjian yang menjejaskan kedaulatan Malaysia.
“Pengurangan tarif sehingga hanya 19 peratus tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima perjanjian yang tidak seimbang dengan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut mengaitkan rekod politik Anwar sejak krisis kewangan 1990-an, sambil menegaskan bahawa kecenderungan Anwar terhadap dasar-dasar IMF ketika itu dikatakan menjadi antara faktor beliau disingkirkan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Hubungan rapat Anwar dengan kerajaan AS juga sudah lama diketahui dalam kalangan politik Malaysia.
“Tidaklah menghairankan bagi ramai antara kami apabila Anwar dikatakan bersekongkol dengan AS untuk menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik tersebut,” jelasnya.
Ramasamy mendakwa, hasil penelitian terhadap perjanjian tersebut menunjukkan kepentingan ekonomi dan kewangan Malaysia terikat kepada kepentingan geopolitik dan strategik AS.
“Perjanjian perdagangan tersebut telah memberikan begitu banyak sehingga jika klausa-klausanya dilaksanakan, Malaysia akan terpaksa melepaskan kebebasan ekonomi dan kewangannya.
“Secara ringkasnya, kedaulatan ekonomi dan politik yang selama ini dihargai oleh Malaysia akan hilang selama-lamanya,” tegasnya.
Tambah beliau, seandainya perjanjian itu dibatalkan oleh mahkamah AS sekalipun, belum tentu Malaysia bebas daripada risiko tindak balas.
“Tiada perdana menteri sebelum ini yang meletakkan negara dalam keadaan berbahaya seperti yang dilakukan oleh Anwar dengan menandatangani perjanjian satu hala yang buruk itu,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak Urimai dan Gerakan Hak Malaysia, akan membuat laporan polis di Pulau Pinang bagi meminta pelantikan segera satu pasukan petugas khas untuk menyiasat tindakan Anwar dalam menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik yang dikatakan berat sebelah itu. – The Merdeka Times