Terkini
Justifikasi ‘kekangan undang-undang’ tidak boleh diterima – PPMM
- Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata alasan bahawa terdapat ‘kekangan undang-undang’ atau kesukaran pembuktian tidak wajar dijadikan justifikasi untuk tidak mengambil tindakan dan perlu diperbetulkan segera demi memelihara kedaulatan undang-undang di negara ini.
- Tegasnya, kesalahan syariah berkaitan hubungan sejenis (seperti liwat) lazimnya ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar hukum Syarak atau tabii semulajadi, dan bukan sebagai kesalahan yang memerlukan “mangsa” dalam pengertian tradisional seperti dalam kes jenayah fizikal.
- “Undang-undang tidak pernah mensyaratkan wujudnya seorang pengadu atau mangsa untuk membentuk kesalahan. Jika berlaku pelakuan tersebut, suka sama suka atau sebaliknya, pelakuan tersebut sudah pun memenuhi pelakuan utama ‘actus reus’ kesalahan berkenaan,” jelasnya.
KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menzahirkan kebimbangan serius terhadap laporan media berkaitan serbuan sebuah spa di ibu negara yang dikaitkan dengan aktiviti hubungan sejenis (LGBT), namun tiada pendakwaan dilakukan terhadap individu yang ditahan.
Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata alasan bahawa terdapat ‘kekangan undang-undang’ atau kesukaran pembuktian tidak wajar dijadikan justifikasi untuk tidak mengambil tindakan dan perlu diperbetulkan segera demi memelihara kedaulatan undang-undang di negara ini.
“Adalah tidak tepat untuk memberi gambaran bahawa tangan penguatkuasa terikat sepenuhnya. Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], peruntukan undang-undang adalah jelas iaitu Seksyen 25 (Liwat).
“PPMM maklum bahawa untuk mensabitkan kesalahan jenayah syariah ini, elemen pembuktian (rukun) adalah ketat, iaitu perbuatan seksual tersebut mesti berlaku dan disaksikan, atau wujudnya pengakuan salah (iqrar).
“Namun, ketiadaan “aksi seksual” semasa serbuan bukan alasan untuk melepaskan pelaku tersebut begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, kesalahan syariah berkaitan hubungan sejenis (seperti liwat) lazimnya ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar hukum Syarak atau tabii semulajadi, dan bukan sebagai kesalahan yang memerlukan “mangsa” dalam pengertian tradisional seperti dalam kes jenayah fizikal.
Justeru, Muhamad Hisham berkata PPMM mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang mendakwa kes melibatkan 202 lelaki tidak boleh diteruskan kerana ‘tiada mangsa’ tampil membuat aduan.
“Hakikatnya, polis sendiri mengesahkan bahawa siasatan dibuat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii. Prinsip seksyen ini jelas di mana perbuatan fizikal itu sendirilah elemen kesalahan.
“Undang-undang tidak pernah mensyaratkan wujudnya seorang pengadu atau mangsa untuk membentuk kesalahan. Jika berlaku pelakuan tersebut, suka sama suka atau sebaliknya, pelakuan tersebut sudah pun memenuhi pelakuan utama ‘actus reus’ kesalahan berkenaan,” jelasnya.
Menurut beliau, cadangan meminda undang-undang bagi memudahkan siasatan adalah tidak wajar, kerana masalah sebenar bukan terletak pada kelemahan peruntukan undang-undang sedia ada tetapi pada salah faham dalam mentafsir dan melaksanakannya.
“Undang-undang jenayah tidak boleh diubah semata-mata kerana penyiasatan sukar atau serbuan tidak menghasilkan bukti yang memadai.
“Menggubal undang-undang berdasarkan kekeliruan konsep hanya membuka ruang kepada penguatkuasaan berlebihan, pendakwaan tanpa standard pembuktian, dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa agama yang berkompeten untuk meneruskan pendakwaan mengikut peruntukan lain iaitu undang-undang jenayah syariah sedia ada iaitu Seksyen 29 (Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam), Seksyen 35 (Menganjurkan atau Memujuk Melakukan Maksiat) dan Seksyen 43 (Penyubahatan).
Dalam masa sama, beliau berkata PPMM dengan tegas mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) perlu lebih kreatif dan proaktif dalam merangka pertuduhan, jangan terperangkap dengan definisi sempit sehingga pelaku maksiat bebas memperlekehkan undang-undang.
“Selain itu, pengukuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), di mana serbuan dan pengumpulan bukti mesti diperkemaskan supaya bahan bukti yang diperoleh di lokasi cukup untuk membina kes prima facie (kes yang kukuh) di mahkamah.
“Antara lain, perlu hentikan sikap apologetik, bermakna pihak berkuasa tidak perlu takut dengan tekanan kumpulan hak asasi liberal, jenayah Syariah adalah soal akidah dan akhlak umat Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – The Merdeka Times