Connect with us

Terkini

Isu spa songsang: Tiada mangsa bukan alasan untuk tidak ambil tindakan – Peguam

Published

on

Foto: Peguam, Aidil Khalid.
  •  Peguam, Aidil Khalid berkata, dakwaan bahawa pihak berkuasa tidak boleh bertindak kerana tiada mangsa tampil adalah tidak tepat dari sudut undang-undang.
  • Menurut beliau, Seksyen 377B tidak mensyaratkan kewujudan mangsa kerana ia tidak merujuk kepada hubungan luar tabii secara paksa. 
  • Aidil berkata, selain Seksyen 377B, terdapat beberapa seksyen lain yang boleh digunakan untuk menjalankan siasatan, termasuk Seksyen 377D berkaitan kesalahan melanggar kesopanan yang menurutnya lebih mudah untuk dikuatkuasakan.

KUALA LUMPUR – Peguam, Aidil Khalid menegaskan bahawa ketiadaan mangsa bukan alasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung dakwaan aktiviti tidak bermoral di sebuah spa yang tular baru-baru ini.

Menurut beliau, dakwaan bahawa pihak berkuasa tidak boleh bertindak kerana tiada mangsa tampil adalah tidak tepat dari sudut undang-undang.

“Dakwaan kononnya kerana tiada ‘mangsa’, maka tidak boleh diambil tindakan, ini adalah sama sekali tidak benar. Hakikatnya, siasatan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan tidak memerlukan sebarang mangsa untuk tampil.

“Bagi hubungan luar tabii secara paksa terhadap mangsa, ada seksyen lain yang terpakai, iaitu seksyen 377C,” katanya kepada The Merdeka Times.

Menurut beliau, Seksyen 377B tidak mensyaratkan kewujudan mangsa kerana ia tidak merujuk kepada hubungan luar tabii secara paksa. 

“Bagi seksyen 377B, elemen paksa terhadap mana-mana mangsa, bukanlah satu keperluan untuk dibuktikan.

“Ini adalah kerana seksyen itu menjadikan sebarang perlakuan “persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii” sebagai satu jenayah, tanpa mengira suka sama suka atau tidak. Dengan kata lain, tidak memerlukan mangsa,” tegasnya.

Aidil berkata, selain Seksyen 377B, terdapat beberapa seksyen lain yang boleh digunakan untuk menjalankan siasatan, termasuk Seksyen 377D berkaitan kesalahan melanggar kesopanan yang menurutnya lebih mudah untuk dikuatkuasakan.

“Seksyen ini bukan sahaja menjadikan pelaku boleh ditahan, bahkan mana-mana orang yang bersubahat melakukan atau mendapat atau mencuba mendapat supaya dilakukan, apa-apa perbuatan kelucahan melampau, di tempat awam atau tempat persendirian boleh ditahan dan disiasat, dan jika sabit, boleh dikenakan hukuman penjara.

“Demikian juga terdapat seksyen 372, 372A dan 372B juga oleh dijadikan asas untuk menyiasat pemilik spa, iaitu atas kesalahan persundalan yang ditakrifkan sebagai “tindakan menawarkan tubuh badan orang bagi pemuasan nafsu untuk disewakan”,” katanya.

Peguam terbabit turut menjelaskan bahawa kesemua seksyen tersebut tidak memerlukan ‘mangsa’ untuk siasatan dijalankan, dan pendakwaan dimulakan. 

Beliau menambah, bagi tujuan pendakwaan, Jabatan Peguam Negara boleh menawarkan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam hubungan suka sama suka itu, (walaupun dia bukan mangsa) untuk menjadi saksi pendakwaan sebagai timbal balik kepada tidak diteruskan tindakan terhadapnya.

“Ini adalah atas kebijaksanaan dan budi bicara pihak Timbalan Pendakwa Raya nanti, jika kes telah dituduh di Mahkamah. 

“Maknanya menjadikan salah seorang pelaku sebagai saksi pendakwaan, supaya dapat mendakwa dan menyabitkan baki pelaku yang lain,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, seramai 171 lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit baru-baru ini telah dibebaskan selepas permohonan reman ke atas kesemua individu terbabit ditolak oleh mahkamah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, permohonan reman itu ditolak berikutan kelewatan permohonan yang dikemukakan oleh pihak polis.

Beliau berkata, daripada 202 individu yang ditahan dalam operasi tersebut, hanya 31 warga asing direman selama dua hari.

Menurut Fadil, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, tiada bukti yang boleh membantu polis menjalankan siasatan lanjut. Maksudnya, walaupun tindakan telah diambil, penganjur nampaknya masih bebas dan kita tidak dapat menyerbu mereka secara langsung.

“Selain itu, kita tidak boleh mendakwa mereka dari sudut undang-undang sedia ada kerana bagi kes eksploitasi, pelacuran atau perlakuan luar tabi‘i, mesti ada mangsa. Namun, tiada seorang pun daripada mereka yang mengaku menjadi mangsa, jadi kes tidak dapat diteruskan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author