Terkini
i-Guru desak KPM ambil tindakan tegas terhadap pegawai terlibat perlakuan songsang
- Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata satu siasatan rapi perlu dijalankan bagi mengesahkan perlakuan sumbang tersebut.
- “Kegiatan songsang LGBT ini tidak wajar dinormalisasikan dalam kalangan warga guru kerana ia bertentangan dengan nilai dan budaya ketimuran bahkan bertentangan dengan prinsip agama dan moral masyarakat,” katanya
- “i-Guru menyeru para guru supaya sentiasa menjaga tingkahlaku dan aku janji sebagai penjawat awam serta mematuhi etika profesion sebagai seorang guru yang dipandang tinggi oleh masyarakat,” tegasnya.
KUALA LUMPUR – Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil satu tindakan tegas kepada pegawai pendidikan yang terlibat jika terbabit dengan aktiviti perlakuan songsang.
Ia susulan penahanan 201 individu termasuk 17 penjawat awam dalam operasi bersepadu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sebuah premis sauna di ibu negara berkaitan aktiviti dikaitkan dengan hubungan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)
Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata satu siasatan rapi perlu dijalankan bagi mengesahkan perlakuan sumbang tersebut.
“Ikatan Guru Muslim Malaysia memandang serius laporan beberapa warga guru yang terlibat dengan aktiviti yang dikaitkan dengan LGBT.
“Kegiatan songsang LGBT ini tidak wajar dinormalisasikan dalam kalangan warga guru kerana ia bertentangan dengan nilai dan budaya ketimuran bahkan bertentangan dengan prinsip agama dan moral masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Azizee, tingkah laku penjawat awam khususnya warga guru perlu dijaga agar integriti dan kredibiliti sebagai kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dipelihara dan tidak mencemarkan profesion keguruan.
“Hal seperti ini tidak boleh dikompromi dan pihak KPM wajib mengambil tindakan tegas tatatertib terhadap guru -guru yang terlibat.
“i-Guru menyeru para guru supaya sentiasa menjaga tingkahlaku dan aku janji sebagai penjawat awam serta mematuhi etika profesion sebagai seorang guru yang dipandang tinggi oleh masyarakat,” tegasnya.
Jelas beliau, i-Guru sentiasa komited untuk terus bekerjasama dan menyokong pihak KPM dalam usaha mengekang budaya negatif di institusi pendidikan serta memastikan profesion perguruan kekal disanjung tinggi, berintegriti dan bermaruah. – The Merdeka Times