Terkini
Nafkah anak kepada ibu bapa hanya wajib apabila wujud “keperluan” dan “kemampuan” – Mufti Pulau Pinang
- Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata hukum syarak menetapkan nafkah ibu bapa hanya menjadi wajib apabila dua syarat asas dipenuhi. Pertama, anak berkemampuan, iaitu ada pendapatan atau harta melebihi keperluan sendiri dan kedua, ibu bapa berada dalam keadaan fakir atau tidak mampu memenuhi keperluan asas hidup.
- Beliau menjelaskan bentuk nafkah tidak terhad kepada pemberian wang, sebaliknya merangkumi penyediaan makanan, tempat tinggal, rawatan dan penjagaan asas, selain sokongan emosi serta perhatian terhadap ibu bapa uzur.
- Mengulas mengenai cadangan penggubalan akta di peringkat persekutuan, beliau berkata undang-undang itu perlu digubal secara berhati-hati dengan mengambil kira kemampuan anak, tahap keperluan ibu bapa, pembahagian tanggungjawab antara adik-beradik dan sokongan alternatif daripada institusi seperti zakat, baitulmal dan kebajikan.
KUALA LUMPUR – Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman, kewajipan tersebut tidak bersifat mutlak, sebaliknya tertakluk kepada syarat tertentu seperti kemampuan anak dan keperluan sebenar ibu bapa.
Menurut Mohd Sukki, hukum syarak menetapkan nafkah ibu bapa hanya menjadi wajib apabila dua syarat asas dipenuhi. Pertama, anak berkemampuan, iaitu ada pendapatan atau harta melebihi keperluan sendiri dan kedua, ibu bapa berada dalam keadaan fakir atau tidak mampu memenuhi keperluan asas hidup.
“Jika kedua-dua syarat ini dipenuhi maka kewajipan nafkah kepada ibu bapa menjadi wajib. Jika tidak mencukupi syarat, misalnya anak tidak mampu atau ibu bapa masih boleh berdikari maka gugur kewajipan tersebut.
“Justeru, tanggungjawab nafkah kepada ibu bapa hanya menjadi wajib apabila wujudnya “keperluan” dan “kemampuan”,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Terdahulu, media melaporkan, pindaan undang-undang terperinci berhubung nafkah ibu bapa dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan bagi memastikan kewajipan anak menanggung nafkah ibu bapa uzur dapat dilaksanakan dengan berkesan menjelang Malaysia status negara tua 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata pada masa sama advokasi berkaitan akan diteruskan sementara menunggu pindaan terhadap undang-undang Mahkamah Syariah serta Undang-Undang Keluarga Islam dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Kelantan mengambil inisiatif awal melaksanakan undang-undang yang mewajibkan anak memberikan nafkah kepada ibu bapa yang uzur dan tidak berkemampuan.
Dalam pada itu, Mohd Sukki menjelaskan bahawa tidak semua anak secara automatik wajib menanggung nafkah ibu bapa, terutama jika anak itu masih menuntut, tidak mempunyai pendapatan stabil atau sedang menanggung komitmen asas kehidupan.
“Berdasarkan hukum syarak, kita tidak boleh mengatakan bahawa “semua anak wajib memberi nafkah kepada ibu bapa” tanpa mengambil kira realiti.
“Jika anak belum berkemampuan seperti sedang menuntut, belum bekerja, atau pendapatannya kecil maka ia tidak dianggap bersalah jika tidak memberi nafkah kepada ibu bapa. Begitu juga jika ibu bapa masih mampu berdikari maka kewajipan nafkah gugur.
“Namun, Islam tetap menggalakkan sedekah, ihsan dan bantuan terutama kepada orang tua yang memerlukan sebagai satu bentuk berbakti dan taat kepada Allah serta penghormatan kepada ibu bapa,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bentuk nafkah tidak terhad kepada pemberian wang, sebaliknya merangkumi penyediaan makanan, tempat tinggal, rawatan dan penjagaan asas, selain sokongan emosi serta perhatian terhadap ibu bapa uzur.
Mengulas mengenai cadangan penggubalan akta di peringkat persekutuan, beliau berkata undang-undang berkaitan perlu digubal secara berhati-hati dengan mengambil kira kemampuan anak, tahap keperluan ibu bapa, pembahagian tanggungjawab antara adik-beradik dan sokongan alternatif daripada institusi seperti zakat, baitulmal dan kebajikan.
“Justeru akta boleh ditubuhkan, tetapi hendaklah disertakan mekanisme fleksibel dan asas syarak supaya tidak mewajibkan sesuatu yang melebihi kemampuan individu,” ujarnya.
Beliau turut menyeru golongan muda dan masyarakat agar melihat pemberian nafkah kepada ibu bapa sebagai satu bentuk ihsan dan amal, bukan bebanan, serta memperkukuh sistem sokongan keluarga agar warga tua tidak terabai.
Bagi anak yang mampu, jadikan nafkah ibu bapa bukan sebagai beban, tetapi sebagai tanggungjawab dan ibadah.
Namun, bagi mereka yang belum mampu, bersedialah untuk membantu bila mampu, dan doakan kesejahteraan ibu bapa.
“Masyarakat dan institusi hendaklah menyediakan ruang sokongan sosial untuk warga tua yang tiada waris yang berkemampuan melalui zakat, wakaf, baitulmal.
“Kesatuan keluarga pula hendaklah menggalakkan tanggungjawab bersama antara anak, jangan bebankan satu anak sahaja. – The Merdeka Times
.