Terkini
LAPORAN KHAS: Krisis rumah tangga negara kian parah: Pakar desak kaunseling wajib, modul perkahwinan baru lebih moden, realistik
- The Merdeka Times menggabungkan pandangan dua pakar iaitu Kaunselor Berdaftar Lembaga Kaunselor Malaysia, Dr. Liley Afzani Saidi serta Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang membincangkan punca, impak dan pembaharuan yang diperlukan untuk membendung krisis perceraian negara.
- Kaunselor Berdaftar Lembaga Kaunselor Malaysia, Dr. Liley Afzani Saidi menegaskan peningkatan kes bukan sekadar angka, tetapi cerminan tekanan hidup moden yang semakin menghimpit keluarga Malaysia, terutama generasi muda.
- “Punca utama perceraian termasuk kegagalan komunikasi, tekanan kewangan, kecurangan pihak ketiga, campur tangan keluarga, dan keganasan rumah tangga,” kata Presiden PGSM Musa Awang.
- Liley Afzani menegaskan keperluan latihan kemahiran praktikal seperti pengurusan emosi, pengukuhan literasi digital, penyelesaian konflik sebenar dan strategi pengurusan stres dalam modul praperkahwinan moden.
Malaysia berdepan peningkatan kadar perceraian yang membimbangkan apabila jumlah kes meningkat 4.1 peratus kepada 60,457 pada 2024, berbanding 58,095 kes pada 2023.
Kadar Perceraian Kasar (CDR) turut naik kepada 1.8 (2024) daripada 1.7 (2023) bagi setiap seribu penduduk, manakala perceraian dalam kalangan Orang Islam melonjak 7.3 peratus kepada 47,577 kes.
Tiga negeri mencatat kenaikan tertinggi Sarawak (33.9 peratus), Sabah (12.7 peratus) dan Selangor (4.8 peratus), menunjukkan isu ini merentas negeri dan semakin kompleks.
Dalam laporan khas ini, The Merdeka Times menggabungkan pandangan dua pakar iaitu Kaunselor Berdaftar Lembaga Kaunselor Malaysia, Dr. Liley Afzani Saidi serta Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang membincangkan punca, impak dan pembaharuan yang diperlukan untuk membendung krisis perceraian negara.
Tekanan Emosi, Sosial & Ekonomi: Realiti Perkahwinan Moden
Kaunselor Berdaftar Lembaga Kaunselor Malaysia, Dr. Liley Afzani Saidi menegaskan bahawa peningkatan kes bukan sekadar angka, tetapi cerminan tekanan hidup moden yang semakin menghimpit keluarga Malaysia, terutama generasi muda.
“Saya melihat peningkatan ini sebagai cerminan kepada tekanan sosial, emosi dan ekonomi yang semakin menghimpit keluarga Malaysia.
“Ramai pasangan hadir dalam keadaan emosi yang tertekan akibat masalah kewangan, ‘burnout’ dan isu kecurangan digital yang kian meningkat,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa faktor-faktor seperti komunikasi lemah, keletihan mental, pengaruh budaya digital, beban kerja tinggi dan jangkaan hidup menjadi pencetus konflik berpanjangan dalam perkahwinan.
Media Sosial: Punca Konflik Baru Dalam Rumah Tangga
Menurut Liley Afzani pengaruh media sosial kini menjadi faktor besar dalam ketidakharmonian perkahwinan.
“Ramai pasangan muda terkesan dengan perbandingan hidup daripada kandungan media sosial yang tidak realistik.
“‘Highlight”, “reel’ sering mencetuskan rasa tidak cukup, tekanan dan cemburu, serta ketidakpuasan yang akhirnya menghakis keintiman hubungan,” katanya.
Justeru beliau berpendapat literasi digital keluarga perlu diperkukuh dengan segera.
“Ketagihan skrin, kekurangan masa berkualiti dan pencabulan privasi digital pula semakin melemahkan interaksi suami isteri.
“Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh literasi digital keluarga agar pasangan muda dapat mengurus batasan dan penggunaan teknologi dengan lebih matang,” ujarnya.
Jelasnya, ia bukan sekadar mampu menggunakan telefon pintar atau media sosial, tetapi meliputi pemahaman, kemahiran dan sikap yang betul ketika berinteraksi dengan teknologi agar tidak timbul rasa syak wasangka kepada pasangan.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula berpendapat media sosial kerap mempengaruhi pasangan untuk bercerai.
“Media sosial dan budaya digital adalah faktor penyumbang kepada peningkatan kadar perceraian, di mana media sosial digunakan sebagai medium untuk mengeruhkan lagi hubungan bukan untuk membaik pulih konflik,” katanya.
Menurutnya, antara adegan pengaruh media sosial seperti, ‘drama’ pergaduhan suami isteri yang tular di media sosial, kata-kata nasihat yang tidak menepati situasi, angan-angan alam perkahwinan sempurna antara contoh yang boleh meruntuhkan bahtera perkahwinan.
Konflik Sosial, Kewangan Punca Utama Perceraian
Bagi Liley Afzani beberapa konflik atau punca utama perceraian yang kerap muncul dalam sesi kaunselingnya.
Antaranya, kegagalan komunikasi, tekanan kewangan, kecurangan pihak ketiga, campur tangan keluarga serta keganasan rumah tangga.
“Punca-punca ini saling berkaitan dan apabila dibiarkan akan menyebabkan konflik berpanjangan yang akhirnya membawa kepada perpisahan,” katanya.
Musa turut bersetuju bahawa faktor berkenaan semakin jelas dalam fail-fail kes di mahkamah syariah dan kini menjadi isu nasional.
“Punca utama perceraian termasuk kegagalan komunikasi, tekanan kewangan, kecurangan pihak ketiga, campur tangan keluarga, dan keganasan rumah tangga.
Punca-punca ini saling berkaitan antara satu sama lain dan apabila dibiarkan akan boleh menyebabkan konflik berpanjangan yang akhirnya membawa kepada perpisahan,” jelasnya.
Kaunseling Wajib, Kursus Perkahwinan Lebih Intensif
Musa berkata sudah tiba masanya undang-undang disemak semula bagi mewajibkan intervensi awal sebelum pasangan dibenarkan bercerai.
“Undang-undang sedia ada perlu disemak semula dengan memasukkan peruntukan mewajibkan kaunseling kepada pasangan yang ingin bercerai,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan kursus perkahwinan yang lebih serius dan realistik.
“Kursus perkahwinan perlu dibuat secara intensif. Contohnya 2 hari 1 malam dan tenaga pengajar daripada kalangan pengamal undang-undang syariah yang berpengalaman dengan kes-kes di mahkamah syariah,” jelasnya.
Ini kerana katanya, modul kursus sedia ada belum cukup menangani cabaran rumah tangga moden.
Dalam pada itu, Liley Afzani mencadangkan peningkatan sistemik terhadap perkhidmatan kaunseling negara.
“Antara langkah praktikal ialah menambah bilangan kaunselor berdaftar di setiap daerah bagi memastikan pasangan dapat mendapatkan bantuan awal tanpa perlu menunggu terlalu lama.
“Selain itu, sesi kaunseling keluarga perlu disusun dengan lebih sistematik melalui intervensi awal, penilaian risiko hubungan dan sesi kaunseling susulan berkala untuk memantau perkembangan pasangan selepas intervensi,” katanya.
Tambahnya, institusi kerajaan juga boleh memperkenalkan kerangka kaunseling keluarga digital yang lebih tersusun dan selamat, selaras dengan kecenderungan generasi muda yang lebih selesa mendapatkan sokongan awal melalui platform dalam talian.
“Ini boleh meliputi penyediaan sesi kaunseling video secara rasmi oleh kaunselor berdaftar, modul pendidikan digital untuk pasangan muda, ‘self-assessment tools’ berkaitan emosi dan hubungan, serta platform rujukan segera untuk kes melibatkan tekanan keluarga, isu komunikasi atau konflik perkahwinan.
“Pendekatan digital ini penting kerana ramai pasangan muda memilih untuk mendapatkan bantuan awal secara privasi sebelum hadir secara fizikal ke pusat kaunseling,” ujarnya.
Beliau menegaskan keperluan latihan kemahiran praktikal seperti pengurusan emosi, penyelesaian konflik sebenar dan strategi pengurusan stres dalam modul pra-perkahwinan moden.
Peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) & Kerajaan: Saling Melengkapi
Musa menekankan bahawa usaha kerajaan sahaja tidak memadai, semua pihak perlu memainkan peranan di dalam memastikan usaha mengurangkan kadar penceraian di daam negara.
“Kerajaan tidak boleh bergerak sendirian sebaliknya perlu menggembleng tenaga dengan NGO untuk mengadakan program-program kesedaran bagi mengurangkan kadar perceraian.
“Sokongan masyarakat sivil amat penting kerana isu keretakan rumah tangga bukan hanya masalah undang-undang, tetapi isu sosial yang memerlukan pendekatan menyeluruh.” jelasnya.
Musa berkata, langkah seperti ini mampu membendung dan mencegah masalah penceraian dengan bantuan NGO daripada sudut penyelesaian masalah selain daripada kaunseling atau nasihat daripada penasihat rumah tangga bertauliah. – The Merdeka Times